Program mobiliti antarabangsa anjuran Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa Bank Rak­yat, UUM itu bertujuan menge­nali budaya Vietnam, di samping meningkatkan keyakinan peserta berkomunikasi dengan penduduk.

Menurut Pengarah program, Nur Kamilah Hamzah, 21, program tersebut sarat dengan pengisian menarik yang membolehkan peserta menimba banyak pengalaman sepanjang lima hari berada di Vietnam.

“Kami juga berpeluang bertukar-tukar pendapat, selain mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dan Vietnam.

“Saya juga bersyukur dapat merealisasikan program yang memberi kesedaran tentang pentingnya berbakti kepada ma­syarakat, sekalipun berbeza budaya dan negara sambil menyelami perasaan mereka,” kata pelajar Sarjana Muda Keusahawanan ini.

Dalam program tersebut, para peserta berpeluang melawat Konsulat Jeneral Malaysia dan Van Hien University di bandar Ho Chi Minh. Lawatan ke universiti tersebt membolehkan para pegawai dan pelajar berkongsi perbezaan termasuk pentadbiran universiti, budaya, aktiviti dan keistimewaan negara.

Para peserta juga dibawa melawat sekitar kampus yang dihiasi deretan bangunan terletak berdekatan, dan yang menariknya kemudahan di dalam kelas seolah-olah berada di dalam mahkamah kerana menggunakan meja serta kerusi kayu.

Peserta juga berpeluang melawat sebuah perkampungan Islam yang terpencil tanpa kemudahan sewajarnya dan sistem perparitan yang lemah iaitu dua jam perjalanan dari bandar Ho Chi Min.

Walaupun penduduknya hidup dihimpit kemiskinan, anak-anak mereka masih mampu belajar walaupun dalam keadaan serba kekurangan tanpa kerusi meja dan hanya berbekalkan papan hitam.

Bagi pelajar Sains Teknologi Maklumat, Siti Farhana Muhammad Razi, 22, lawatan ke Kampung Duong Da yang didiami 200 keluarga berketurunan Champa itu membuatkan mereka sedar tidak mudah hidup sebagai seorang Muslim di Vietnam.

“Bayangkan sepanjang lima hari di Vietnam hanya satu masjid yang kami jumpa dan di situ juga anak-anak belajar tentang Islam.

“Kami juga cuba membantu dengan ber­kongsi ilmu Bahasa Ingge­ris, Matematik dan Bahasa Malaysia dengan lebih 200 pelajar dalam lingkungan usia lima hingga 16 tahun. Apa yang mengejutkan, mereka mahir dalam Matematik bahkan mempunyai formula tersendiri,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar Pentadbiran Perniagaan (Logistik Dan Pengangkutan), S. Delipkumar, 21, berkata, semangat sukarelawan perlu ada dalam diri mahasiswa dalam mempromosi sikap tanggungjawab, disiplin, bekerjasama, sahsiah dan prihatin kepada persekitaran.

“Sentuhan kasih, prihatin dan kemesraan yang ditunjukkan sedikit sebanyak membuatkan mereka rasa disayangi dan kami gembira dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk yang turut memeriahkan program ini.

“Inilah masanya mahasiswa memulangkan sesuatu pada ma­syarakat dan saya berharap program ini memberi dorongan kepada orang lain agar sentiasa membantu mereka yang serba kekurangan,” jelasnya.

Seorang lagi pelajar, Nurul Asyikin Awang, 21, tidak dapat melupakan kenangan sewaktu menyusuri Sungai Mekong sejauh dua kilometer yang merupakan satu daripada tarikan pelancong di Vietnam.

“Paling menyeronokkan ketika menaiki sampan yang hanya boleh memuatkan empat orang membuatkan kami kagum bagaimana sungai kecil ini mampu menampung banyak sampan pada satu-satu masa.

“Sepanjang ekplorasi, kami melihat keunikan budaya, hasil kraftangan yang dijual, makanan tradisional, roti Ba Minh berintikan sardin dan sumber ekonomi penduduk setempat,” katanya.