Walaupun kehilangan bapanya ketika berada di tahun akhir pe­ngajian, anak sulung daripada enam adik beradik itu tetap tabah semata-mata tidak mahu mensia-siakan harapan arwah bapanya agar menjadi pelajar cemerlang.

“Semasa arwah bapa sakit, saya sedang menduduki peperiksaan tahun akhir jadi saya tidak dapat balik. Selepas itu saya balik untuk jaga ayah menyebabkan saya terlambat mendaftar untuk semester sete­rusnya itu.

“Selepas ayah disahkan menghidap kanser hati tahap empat selepas lima bulan di hospital, kami membawa ayah balik untuk dijaga di rumah dan arwah ayah akhir­nya meninggal dunia di pangkuan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menerima anugerah tersebut daripada Pro Canselor WUC, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah sempena majlis konvokesyen tersebut.

Selain kehilangan bapa Nurul Azliza yang berasal dari Gerik, Pe­rak berkata, dia juga merupakan orang kampung dan hidup dalam serba kekurangan sehingga kadang kala terpaksa mengikat perut untuk menyimpan duit bagi menyiapkan tugasan.

Penerima Ijazah Sarjana Muda Psikologi itu menyatakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Harapan saya hanyalah untuk membalas pengorbanan ibu dan memastikan adik-adik saya mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.