Mereka ialah penulis khas Ming­guan Malaysia, Sahidan Jaafar, 54, yang mengambil bidang Sains Politik dan Penolong Pengarang Al-Islam, Norimanah Seman, 48, (Pengurusan Komunikasi).

Sahidan yang berjaya menamatkan pengajian sarjana selama tiga tahun di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM memilih tajuk tesis me­ngenai Kegemilangan Utusan Malaysia di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, kata Sahidan, pemilihan tajuk tesis berkenaan juga sempena sambutan ulang tahun yang ke-80 Kumpulan Utusan pada 18 Jun 2018.

“Saya menerima galakan yang tinggi daripada Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman untuk menyambung pengajian dan tajuk yang dipilih juga bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat tentang jasa dan era kegemilangan akhbar Utusan Malaysia di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah ber­kenaan dekat sini, hari ini.

Majlis Konvokesyen ber­kenaan yang memasuki hari ketiga menyaksikan seramai 1,033 penerima Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) serta Institut Kajian Etnik (Kita) yang disempurnakan oleh Pro Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Sementara itu, Norimanah berkata, pengalaman selama 24 tahun berkecimpung dengan penulisan majalah di bawah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) mendorong minatnya menyambung pengajian ber­kenaan.

“Saya memulakan kerjaya sebagai wartawan majalah se­perti Mastika sejak dari 1993 dan terlibat dengan majalah Al-Islam pada 2009. Apabila setiap hari membaca dan menyunting pelbagai cerita yang dihasilkan wartawan, secara tidak langsung mendorong minat saya untuk sambung belajar.

“Tesis saya berkenaan ‘Liberalisme Agama’ dan tidak dinafikan kesibukan tugas di pejabat menyebabkan saya perlu membahagikan masa dengan bijak serta menguruskan keluarga. Malah, saya terpaksa mengorbankan masa tidur dan perlu bangun seawal pukul 3 pagi bagi menyiapkan tesis dan itulah rutin harian sepanjang tiga tahun menyempurnakan minat dan impian menggenggam segulung ijazah sarjana,” luahnya.