Pelantikan semula itu berkuat kuasa pada 16 Ogos ini hingga 15 Ogos 2019 adalah selaras dengan peruntukan bawah Seksyen 12(1) Perlembagaan USIM.

Musa Ahmad dalam kenyataanya berkata, beliau berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh atas pelantikan semula ini dan merupakan pengiktirafan atas kepimpinannya dalam menerajui USIM.

“Pelantikan ini merupakan satu peluang kepada diri saya untuk meneruskan segala perancangan dalam menjayakan Pelan Strategik USIM 2016-2025. Keutamaan lain yang turut menjadi fokus ialah memastikan projek pembangu-nan fizikal kampus seperti pembinaan kolej kediaman baharu dan hospital pengajar dilaksanakan.

“Menjadi keutamaan saya dalam menjayakan agenda kampus barakah dan ini pastinya memerlukan kepada sinergi dan komitmen seluruh warga USIM,” katanya.

Selama tempoh tiga tahun sebagai Naib Canselor USIM dari 2014 hingga 2017, Musa Ahmad telah meletakkan hala tuju USIM yang lebih strategik dalam bidang akademik, pentabiran, sumber manusia, kewangan, pembangunan mahasiswa dan jalinan antarabangsa dengan pelbagai institusi.

Beliau turut menekankan kepentingan membudayakan warga kampus yang sihat melalui program FIT USIM, kesukanan, riadah dan rekreasi.

Dilahirkan di Panchor, Muar Johor, beliau berkelulusan ijazah sarjana muda dalam jurusan kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1985; Ijazah Sarjana (Instrumention and Analytical Science) dari University of Manchester pada 1987 dan memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang (Optical Fibre Chemical Sensor) dari University of Manchester pada 1994.