Titah baginda, menerusi pe­laksanaan tersebut, fokus bukan sahaja kepada teknologi, infrastruktur dan ilmu penge­tahuan seperti Realiti Berperanta (Augmented Reality) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), tetapi juga kesan serta manfaatnya kepada masyarakat.

“Ini direalisasikan dengan aktiviti penyelidikan berteraskan pengetahuan dan teknologi yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.

“Apa yang lebih membanggakan adalah Unimap melaksanakan penyelidikan dalam rangkaian sensor tanpa wayar (WSN) yang merupakan asas kepada internet saling berhubung (IoT) sebelum terminologi itu digunakan,” titah baginda.

Baginda yang juga Tuanku Canselor Unimap bertitah demikian ketika ber­kenan berangkat menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-13 Unimap 2018 di Dewan Ilmu Unimap, Pauh Putra di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro-Canselor Unimap.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Noraswana Omar.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengerusi Lembaga Pengarah universiti, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Dalam istiadat konvokesyen kali ini, seramai 3,623 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing dengan 92 orang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 169 (sarjana), 2,980 (sarjana muda) dan 382 (diploma).

Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Zainai Moha­med pula menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Ketua Pegawai Eksekutif Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), Amirudin Abd. Kadir (Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan) dalam istiadat konvokesyen itu.

Baginda bertitah, Unimap juga seharusnya membekalkan kepakarannya untuk mempersiapsiagakan masyarakat dalam Inovasi Disruptif.

Titah baginda, ini kerana dunia kini bukan sahaja sudah berubah, malah akan sentiasa dan terus berubah.

“Maka haluan produk, per­khidmatan dan perniagaan mes­tilah mudah untuk berubah dalam mendepani serta mena­ngani segala cabaran akan da­tang,” titah baginda.