AIZAM ABDUL AZIZ@DRAHAMAN
AIZAM ABDUL [email protected]

Pemberian diskaun itu adalah antara insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 khusus untuk PTPTN yang mana tiga daripadanya adalah insentif pemberian diskaun sebanyak 10 dan 20 peratus.

Insentif pertama ialah diskaun sebanyak 20 peratus untuk penyelesaian keseluruhan hutang (semua pinjaman); insentif kedua, diskaun sebanyak 10 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurang 50 peratus daripada keseluruhan hutang (semua pinjaman); dan insentif ketiga, diskaun sebanyak 10 peratus untuk bayaran melalui potongan gaji atau direct debit.

Pengurus Besar, Jabatan Pe­­masaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Aizam Abdul [email protected] berkata, diskaun yang diberikan itu terbuka kepada semua peminjam PTPTN termasuk mereka yang sudah dikenakan tindakan pe­nguatkuasaan seperti disenarai hitam oleh Imigresen dan dikenakan saman.

“Peminjam perlu merebut peluang keemasan ini kerana insentif itu telah dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 15 peratus sebelum ini.

“Cuma, peminjam perlu terlebih dahulu mendapatkan pengesahan baki hutang semasa daripada PTPTN. Pengesahan tersebut boleh diperolehi secara online di portal rasmi ­PTPTN iaitu www.ptptn.gov.my atau hubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pe­minjam yang ingin membuat penyelesaian penuh, sekali gus mendapat diskaun sebanyak 20 peratus perlu menyelesaikan ke­seluruhan hutang pinjaman bagi semua pinjaman.

“Menariknya, mereka boleh menyelesaikan bayaran melalui gabungan pelbagai saluran seper­ti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tunai dan online dengan syarat penyelesaian hutang pinjaman diterima dalam bulan yang sama.

“Peminjam dinasihatkan membuat pembayaran selewat-lewatnya pada 27 hari bulan setiap bulan kerana dikhuatiri bayaran lewat diterima menyebabkan peminjam tidak la­yak mendapat diskaun,” katanya.

Sementara itu, katanya, diskaun sebanyak 10 peratus diberikan kepada peminjam yang ingin membuat penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan hutang sekiranya membuat bayaran dalam bulan yang sama.

Peminjam juga layak mendapat diskaun 10 peratus sekiranya membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit.

“Jadi, kami menyeru pemin­jam yang masih belum me­laksanakan bayaran balik pinjaman agar merebut peluang itu sementara tawaran masih dibuka dan tidak menunggu di saat akhir promosi,” katanya.

Aizam berkata, peminjam yang hanya mempunyai hutang Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) juga layak mendapatkan diskaun sebanyak 20 peratus untuk pembayaran jumlah kese­luruhan hutang atau diskaun sebanyak 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang WPP sekiranya membuat bayaran dalam bulan yang sama.

Geran Sepadan

Dalam Bajet 2018 yang bertemakan ‘Memakmurkan Eko­nomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat Menuju Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50)’ itu, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250 juta kepada 500,000 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang membuat simpanan di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasio­nal 1 Malaysia (SSPN1M) yang meru­pakan penjenamaan semula produk simpanan PTPTN (Skim Simpanan Pendidikan Nasio­nal).

Katanya, peruntukan itu adalah sebagai satu insentif bagi menggalakkan ibu bapa menabung.

Melalui insentif tersebut, ­PTPTN akan memberi geran sepadan bernilai RM500 dalam bentuk simpanan percuma kepada pendeposit yang mempunyai jumlah tabungan sekurang-kurangnya RM500 sepanjang tahun 2018. Bagaimanapun. geran sepadan itu tidak boleh dikeluarkan sehinggalah anak mereka mencapai usia 18 tahun.

Katanya, kerajaan juga akan melanjutkan tempoh pelepasan taksiran cukai pendapatan individu sehingga RM6,000 bagi simpanan bersih yang dibuat di dalam SSPN1M di bawah PTPTN sehingga 2020.

Beliau berkata, Bajet 2018 turut memperuntukkan seba­nyak RM200 juta kepada pelajar daripada kumpulan B40 yang menyambung pelajaran dalam kursus yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

“Turut menggembirakan peminjam apabila tempoh grace period pembayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian berbanding enam bulan ketika ini,” katanya.

Sejak penubuhan PTPTN pada 1997 sehingga 30 September 2017, seramai 2.78 juta pe­minjam telah mendapat manfaat pinjaman pendidikan PTPTN dengan nilai keseluruhan berjumlah RM51.2 bilion.

Cabutan WOW!

Tanpa sedar, PTPTN telah 20 tahun memberi sumbangan kepada masyarakat terutama dalam memastikan lebih ramai pelajar berpeluang menyambung pengajian ke institusi pe­ngajian tinggi (IPT).

Oleh itu, sempena ulang tahun ke-20, PTPTN telah me­nganjurkan Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN dengan menawarkan hadiah wang tunai lebih RM500,000 bertujuan mengga­lakkan masyarakat mengamalkan budaya menabung untuk pendidikan anak-anak, selain menghargai pendeposit-pendeposit SSPN-i atau SSPN-i Plus yang selama ini setia bersama PTPTN.

Aizam berkata, pendeposit berpeluang memenangi cabutan bulanan de­ngan hadiah wang tunai bernilai RM10,000 setiap bulan, sekira­nya mereka membuka akaun atau menambah akaun dalam tempoh promosi iaitu sehingga 31 Disember 2017. Turut diberikan adalah hadiah saguhati bernilai RM100 untuk 100 pemenang.

Jelasnya, cabutan tersebut diadakan untuk menarik minat ibu bapa menabung, sekali gus menjadikan ia sebagai satu amalan demi pendidikan anak-anak mereka.

Tambah beliau, bagi ibu bapa yang mempunyai anak Tahun 1 2017, mereka juga akan mendapat geran sepadan RM50 secara percuma sekiranya membuka akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus sehingga akhir tahun ini.

“Diharapkan dengan tawaran berganda yang diberikan­ PTPTN ditambah manfaat yang bakal diterima pendeposit, masyarakat dapat memulakan langkah menabung demi masa depan pendidikan anak-anak mereka.

“Mereka kini tidak perlu bersusah-payah untuk memulakan tabungan sebaliknya ia boleh dilakukan dengan mudah secara online di www.lovesspn.com,” katanya.