Dialog bertajuk Senario Industri Masa Depan Malaysia: Aspirasi Siswa Politeknik Malaysia itu diadakan sempena Program Karnival Sains dan Teknologi (KaSTek ‘17) yang berlangsung di PSAS dari 17 hingga 20 Julai lalu.

Antara lain, dialog selama hampir dua jam yang dikendalikan Pengarah PSAS, Zairon Mustapha sebagai moderator itu memberi peluang dan ruang kepada pelajar terlibat menyuarakan pelbagai persoalan berhubung Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Rata-rata soalan yang diutarakan pelajar politeknik berkisar tentang kebimbangan mereka tiadanya peluang pekerjaan apabila Industri 4.0 berlaku selain persediaan serta langkah kerajaan dalam menghadapi situasi tersebut kelak.

Menjawab persoalan berkenaan, Idris berkata, Industri 4.0 hasil cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pemangkin dalam melahirkan lulusan berkualiti, berpengetahuan serta berkemahiran dalam memenuhi kehendak pasaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Tegas beliau, mahu tidak mahu semua pihak termasuk pelajar perlu menyiapkan diri dengan kemahiran terkini bagi memastikan ia mampu memenuhi kehendak pasaran baharu itu.

Idris berkata, ini kerana Industri 4.0 merupakan industri yang lebih mementingkan robot automasi dan analisis data besar dalam pelaksanaan tugas berbanding menggunakan tenaga manusia ketika ini.

“Industri 4.0 ini nanti akan memudahkan kerja kita kerana banyak perkara digantikan dengan robotik. Namun wujud kerisauan dalam kalangan siswazah, ibu bapa serta masyarakat berkenaan peluang pekerjaan akan tiada.

“Tidak sebegitu sebenarnya kerana kerja berubah. Saya percaya kerja yang lebih canggih akan wujud seperti saintis data serta jurutera robotik.

“Yang penting, kita semua kena sediakan diri dan berubah mengikut keperluan tersebut supaya kita mampu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu itu,”katanya.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Pada masa sama, kata Idris, Kementerian Pengajian Tinggi akan membentangkan dalam tempoh dua bulan lagi rangka kerja berkenaan Pendidikan 4.0 ke kabinet yang akan menggariskan panduan pendidikan tinggi negara dalam mendepani cabaran serta memenuhi keperluan Industri.

“Kita tidak ada pilihan ketika ini kerana Industri 4.0 yang berlandaskan kepada penggunaan teknologi seperti AI (kecerdasan buatan), robotik, virtual reality, dan 3D printing ini akan diguna pakai dalam sistem pendidikan kita tidak lama lagi.

“Justeru, ketika ini kita dalam proses pengumpulan data bagaimana untuk melaksanakan Pendidikan 4.0 dengan menghadiri seminar berkaitan Industri 4.0 untuk mendapatkan cara terbaik bagi mengadaptasi teknologi itu dalam pendidikan kita.” katanya.

Beliau berkata apabila diluluskan kelak, Pendidikan 4.0 yang turut menyaksikan penglibatan pemain industri akan menggabungkan semua fakulti pengajian di bawah satu bumbung untuk mengadaptasi Industri 4.0 itu secara menyeluruh.

“Sinergi ini akan menyaksikan tiada lagi jurang antara industri dengan sistem pendidikan akademik.” katanya.

Dalam pada itu, kata Idris, penganjuran dialog ini dilihat sebagai satu wadah yang terbaik dan tepat dalam menyampaikan maklumat berkaitan Industri 4.0 kepada pelajar selaras dengan keperluan dan kehendak industri yang memerlukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran.

Katanya, program seperti ini juga turut memberikan pendedahan kepada pelajar untuk memahami realiti sebenar dunia pekerjaan terutama bagi lulusan berkelulusan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam mempraktikkan teori dan amali pada peringkat pekerjaan.

Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan Sijil Kolabrasi Industri (CoC) PSAS dengan lebih 40 industri di seluruh Malaysia.

Kolabrasi industri ini adalah untuk membentuk jalinan hubungan antara industri dengan Politeknik Sultan Azlan Shah mencakupi bidang kurikulum, latihan, pengajaran dan pembelajaran.

Pada masa yang sama, Idris turut merasmikan bilik Teaching Enable Colabrative Classroom (TECC) yang berkonsepkan pembelajaran digital atau pembelajaran secara maya dengan menggunakan teknologi Virtual Reality (VR).

PSAS merupakan Politeknik pertama di negara ini menggunakan teknologi VR dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.