Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali berkata, penyenaraian Detik dalam kalendar Bulan Bahasa Kebangsaan dan pada tahun ini menjadi permulaan aktivitinya menunjukkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengiktiraf peranan Detik dalam memartabatkan bahasa Melayu.

“Hal ini selari dengan matlamat Detik untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di seluruh negara, serantau dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup Detik 2017 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr. Amin Senin, mewakili Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Detik 2017 merupakan pertandingan debat ala Parlimen British yang disertai 60 pasukan dengan tema Pendidikan dan Kepenggunaan melibatkan mahasiswa berusia 18 hingga 21 tahun.

Rakan kolaboratif Detik 2017 antaranya Kementerian Pendidikan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; IPG Malaysia (IPGM); DBP; Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Pertubuhan Aktivis Debat IPGM (ADIM).

Selain itu, Detik turut berperanan mempraktikkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) melalui medium perdebatan selaras dengan peranan IPG Kampus Ilmu Khas sebagai Pusat Kecemerlangan Kemahiran Berfikir IPGM.

Pada edisi keempat ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diumumkan sebagai juara mengatasi pasukan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) A ditempat kedua, IPG Kampus Ilmu Khas (ketiga) dan Uniten B keempat.

UIAM yang diwakili dua penuntut jurusan undang-undang, Muhammad Asyraf Mustaffa dan Zhilal Adnan membawa pulang piala pusingan Detik, wang tunai RM3,000 dan sijil.

Lebih manis, Zhilal dinobatkan pendebat terbaik peringkat akhir dan seorang lagi pendebat UIAM, Irham Husna Mohd. Nazri sebagai pendebat terbaik keseluruhan Detik 2017.

Dalam pertandingan peringkat akhir, empat pasukan itu mendebatkan tajuk ‘Undang-Undang adalah mekanisme utama dalam pendidikan kepenggunaan’ dengan UIAM bertindak selaku pembangkang, manakala Uniten A mewakili penyokong.

Secara keseluruhan 120 pendebat dari IPG, universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini.