Pertandingan itu disertai sepuluh pasukan yang terdiri daripada penuntut tahun dua dan tiga yang mengikuti Sijil Teknologi Seni Bina, Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan, Sijil Komputer dan Rangkaian, dan Sijil Pengoperasian Perniagaan.

Pengarahnya, Lt. Kolonel Bersekutu (PA) Abdul Razak Sabtu berkata, aktiviti yang diadakan itu menghendaki penuntut menghasilkan rancangan perniagaan di mana projek yang dihasilkan mampu dijayakan.

Katanya, rancangan perniagaan itu mesti dihasilkan secara berkumpulan dan setiap kumpulan yang dianggotai antara lima hingga enam orang itu wajib dibarisi penuntut pelbagai kaum serta mempunyai kombinasi semua jabatan.

Beliau berkata, sebanyak sepuluh kumpulan terlibat dan mereka dikehendaki memilih antara kategori perniagaan atau kategori sosial di mana kedua-dua kategori menawarkan trofi serta hadiah wang tunai berjumlah RM500 bagi pemenang tempat pertama, RM200 (kedua) dan RM100 (ketiga).

Selain itu katanya, sepanjang tempoh tiga hari itu, penuntut berusaha membuat jualan dengan pelbagai kaedah sama ada jualan melalui online atau membuka gerai jualan.

“Mereka bukan sahaja membuat jualan tersebut di dalam kampus malah ada yang membuka gerai jualan di pasar malam dan jemputan jualan di sekolah sekitar Merlimau,” katanya.

Abdul Razak menambah, tujuan utama penganjuran program itu untuk memberi pendedahan kepada penuntut tentang proses penyediaan rancangan perniagaan yang berkesan selain peluang mempamerkan kualiti keusahawanan yang dipelajari dan melengkapkan mereka dengan kemahiran insaniah yang sesuai.

“Kita mahu melihat sinergi yang wujud apabila kekuatan dan kelemahan masing-masing diuruskan sebaik mungkin dan akhirnya dapat membuahkan hasil yang luar biasa, itu harapan kita,” katanya.

Dalam pertandingan itu, Kumpulan De’ Brainstorm terdiri daripada pelajar Sijil Pengoperasian Perniagaan berjaya merangkul hadiah utama dengan membuat jualan yang tertinggi melalui business pitching.