Biarpun bercuti panjang, ibu bapa kini tidak lagi membiarkan anak-anak mereka bermalas-malas di rumah, sebaliknya rata-ratanya mencari pendekatan lain untuk mendidik anak-anak mereka sepanjang cuti persekolahan tersebut.

Antaranya menghantar anak-anak menyertai kem motivasi, kem perkhemahan, kem ibadah dan menghadiri kursus-kursus jangka pendek terutamanya kursus Bahasa Inggeris.

Tujuannya bukan sahaja untuk memastikan masa terluang anak-anak dapat diisi dengan perkara-perkara berfaedah, tetapi lebih penting ibu bapa mengharapkan anak mereka dapat menerap le­bih banyak ilmu bagi membantu mereka meningkatkan lagi pres­tasi akademik masing-masing pada masa akan datang.

Tetapi, memandangkan kini peralatan teknologi seperti komputer telah menjadi sebahagian daripada kehidupan ge­ne­rasi muda termasuk pelajar sekolah, maka program-program berkaitan teknologi maklumat (IT) pastinya lebih menarik minat mereka. Jadi, cubalah didik mereka untuk menggunakannya dengan cara berfaedah.

Malah, mungkin dengan mengikuti program-program IT akan membolehkan para pelajar mahir dalam menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.

Itulah juga harapan pihak Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) apabila turut menawarkan program cuti sekolah berasaskan IT bagi memberi pendedahan yang tepat berkaitan pengaturcaraan.

Ketua Seksyen, Pusat Pem­belajaran Lanjutan dan Berterusan (ACE), UniKL MIIT, Suhaili Din berkata, program itu juga sebenarnya dapat membantu para pelajar lebih memahami berkaitan pengaturcaraan, sekali gus memudahkan mereka mempelajari subjek tersebut yang juga merupakan antara silibus baharu yang diperkenalkan bermula tahun ini kepada pelajar-pelajar tingkatan empat.

Beliau berkata, melalui program itu, para pelajar boleh memilih sama ada untuk mengikuti pembelajaran berkaitan perma­inan komputer untuk kanak-kanak, pengurusan rangkaian, pengaturcaraan menggunakan JAVA dan PHP web programming.

“Program ini juga dapat membantu Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan penerapan elemen Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang mana pelajar terbabit akan mampu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta sesuatu menggunakan teknologi terkini.

“Jadi, para pelajar akan diajar bermula daripada asas hinggalah mereka mampu untuk membina satu program berkaitan subjek yang dipelajari itu selain memberi peluang untuk mereka mengembangkan kreativiti ma­sing-masing melalui IT,” katanya.

Suhaili berkata, selain program IT, UniKL MIIT juga menganjurkan dua lagi program sempena cuti sekolah iaitu program kreatif dan program yang lebih kepada pem­belajaran kemahiran insaniah.

Jelasnya, program kreatif yang ditawarkan antaranya suntingan video, membina permainan komputer menggunakan android, menerbitkan majalah menggunakan adobe indesign, penyunti­ngan foto, dan komunikasi visual menggunakan adobe illustrator.

Sementara itu, program yang lebih kepada pembelajaran kemahiran insaniah pula lebih kepada pembelajaran ilmu matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Korea, Bahasa Mandarin dan meneroka e-perniagaan.

“Program cuti sekolah ini sebenarnya telah lama dianjurkan oleh UniKL iaitu sejak tahun 1996 dan ia cukup popular dalam kalangan ibu bapa dan pelajar, tetapi ia terhenti apabila UniKL berpindah ke bangunan baharu.

“Tetapi, bermula tahun lalu UniKL ketengahkan kembali program tersebut kepada umum dan berharap ia dapat menarik minat ramai ibu bapa serta pelajar khusus mereka yang meminati bidang IT,” katanya.

Suhaili berkata, program-program tersebut terbuka kepada semua pelajar tidak kira sekolah rendah mahupun menengah seawal usia sembilan tahun. Tetapi, untuk program Intensif Matematik, hanya ditawarkan untuk pelajar tingkatan empat dan lima sahaja.

Katanya, kesemua program cuti sekolah ini akan dikendalikan oleh pensyarah UniKL MIIT dan bayaran yang dikenakan amat berpatutan bermula dari RM120 hingga RM200 kerana pelajar hanya perlu membawa diri mereka sahaja apabila menghadiri program tersebut.

Jelasnya, setiap program akan bermula dari pukul 9 pagi hingga empat petang di UniKL Kampus Kota, Jalan Sultan Ismail dan ia dilengkapkan dengan bahan-bahan kursus, sarapan serta makan tengah hari selain diberikan sijil penyertaan.­