Menurut chef terkemuka itu, hasrat itu adalah susulan pelantikan beliau sebagai Profesor Adjung Pusat Pengajian Pe­ngurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM) berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

“Saya teringin sangat untuk menghasilkan ensiklopedia masakan Melayu... terdapat banyak resepi yang saya hasilkan jadi saya berharap ada scholar yang pakar dapat kompil bagi menghasilkan ensiklopedia masakan Melayu mengikut negeri.

“Selain itu, saya bersetuju untuk menjadi Profesor Adjung UUM kerana merasakan sudah sampai masanya untuk saya berkongsi ilmu dan pengalaman dengan penuntut di sini.

“Ini juga peluang untuk pelajar di sini mempelajari bidang pelancongan dan hospitaliti secara praktikal dan tidak bergantung kepada buku semata,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Pengasasan Ke-33 dan Pelantikan Profesor Adjung Baharu, di sini baru-baru ini.

Watikah pelantikan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Siti Sa'adiah Sheikh Bakir dengan disaksikan Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Dekan STHEM, Profesor Madya Dr. Nurhazani Mohd. Shariff.

Pelantikan oleh UUM bagi tempoh dua tahun bermula 1 Februari lalu hingga 31 Januari 2019 itu dibuat berdasarkan pengalaman, kepakaran serta kesesuaian bidang yang diceburi Chef Wan dalam bidang masakan.

Chef Wan berkata, beliau turut menerima dua lagi tawaran untuk menjadi Profesor Adjung namun memilih UUM kerana lebih tertarik dengan perancangan universiti pengurusan tersebut untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan berkaitan pelancongan dan hospitaliti yang seiring dengan impiannya.

Sementara itu, Mohamed Mustafa berkata, pelantikan itu membolehkan Chef Wan berkongsi pengalaman, memberi nasihat dan bimbingan kepada pensyarah serta pelajar melalui program syarahan Profesor Adjung, seminar dan perjumpaan.

“Saya yakin Chef Wan yang memperoleh ijazah dalam Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel di California Culinary Academy di San Francisco, Amerika Syarikat serta diploma dari Hotel Ritz, Paris dapat membantu UUM lebih cemerlang dalam bidang akademik,” katanya.