Sepanjang dua bulan melaksanakan kempen, pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan itu menjalankan pelbagai usaha bagi mengumpul dana antaranya menjual pelbagai produk seperti makanan, pakaian dan kraf tangan, kutipan derma dan tajaan dari agensi-agensi swasta dan sumbangan ikhlas daripada para pelajar dan pensyarah UiTM.

Chanel 1.0 adalah jenama baharu program dianjurkan pelajar fakulti itu, di mana sejak enam tahun lalu, program Chance of Charity (COC) yang berkonsepkan tujuan yang sama dikendalikan oleh pelajar semester 4 diploma berkenaan bagi membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan serta memerlukan pertolongan termasuk dana bantuan dan tenaga.

Menurut Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM cawangan Melaka, Dr. Ahmad Fadhly Arham, kutipan yang berjaya dikumpulkan oleh para pelajar untuk Chanel 1.0 kali ini adalah antara yang terbanyak pernah dilakukan dan beliau mengucapkan tahniah atas komitmen diberikan peserta.

“Sebelum ini menerusi COC, peserta program pernah mendapat kutipan dana sebanyak lebih RM40,000 dan tahun lalu, COC berjaya mengumpul sumbangan berjumlah kira-kira RM22,000 bagi melaksanakan misi bantuan program.

“Namun bukan jumlah dana yang kami pentingkan, sebaliknya COC dan Chanel 1.0 diwujudkan oleh fakulti ini bertujuan mendidik pelajar berusaha mengumpul sumbangan menerusi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang mereka laksanakan dan hasil sumbangan itu akan disalurkan kepada pihak yang disasarkan,” katanya ketika ditemui pada program perasmian Chanel 1.0 di Galeri Seni UiTM Melaka baru-baru ini.

Majlis penyerahan replika cek kutipan dana Chanel 1.0 yang diadakan di Dewan Syahbandar kampus universiti itu melibatkan penyerahan cek daripada Ahmad Fadhly kepada Timbalan Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Dr. Ismadi Md. Badarudin dan dihadiri dua pensyarah penasihat projek itu, Nurul Zamratul Asyikin Ahmad dan Norazira Abas.

Yang turut hadir, dua Pegawai Penjanaan Dana Islamic Relief Malaysia (IRM), Nooraini Abd. Kadir dan Mohd. Hafiz Ab. Majid serta Ketua Projek Chanel 1.0, Muhammad Arief Najmuddin Mohd. Mokhtar.

Chanel 1.0 bertemakan Al-Amal Fi Syria berusaha mengumpul dana sebanyak mungkin bagi membantu penduduk di Syria yang kini ditindas oleh golongan yang tidak bertanggungjawab dan telah menyebabkan pertumpahan darah dan kehilangan ramai nyawa yang tidak berdosa.

Menurut Ahmad Fadhly, dengan adanya program seperti ini, ia dapat melahirkan generasi muda yang prihatin terhadap isu semasa seperti pergolakan yang berlaku di Syria.

“Sesungguhnya UiTM Melaka kampus Lendu sentiasa ingin menanamkan sifat keprihatinan dan tolong menolong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama, negara dan lain-lain dalam diri pelajar.

“Penganjuran program khidmat masyarakat seperti ini dapat membantu serba sedikit kesusahan yang dialami dalam kehidupan masyarakat Syria di sana,” katanya.

Sementara itu, Nooraini ketika ditemui berkata, UiTM kampus Lendu adalah antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang berjaya mengutip dana yang begitu banyak menerusi program khidmat masyarakat yang dianjurkan untuk membantu penduduk Syria.

Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat membantu 45 buah negara yang dilanda kesusahan di seluruh dunia sejak 2011, beliau berkata, IRM amat menghargai sumbangan yang dihulurkan oleh pelajar UiTM ini dan berharap sikap peserta Chanel 1.0 mampu menjadi penanda aras kepada pelajar IPT lain.

“Sebagai pelajar yang belum bekerja, IRM menyanjung tinggi semangat para pelajar UiTM kerana mereka melaksanakan program-program yang kreatif sehingga mampu mengumpul dana sebanyak itu dan bagi saya ini satu kejayaan dan kebanggaan,” katanya sambil memberitahu sumbangan itu akan diserahkan kepada rakyat Syria yang memerlukan bantuan di mana-mana lokasi negara itu.