Bagi menjayakan inisiatif tersebut, Universiti UCSI giat menganjurkan program kempen kesedaran yang bertemakan Penyakit Buah Pinggang Kronik: Pembunuh Senyap di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program tersebut yang dijaya dan dirasmikan oleh Naib Canselor UCSI, Prof. Datuk Dr. Khalid Yusoff itu diharap mampu memberi impak yang besar kepada orang ramai dalam memberi kesedaran berhubung kepentingan menjaga buah pinggang dan penyakit kronik yang lain.

Dr. Khalid berkata, ini merupakan kempen yang amat baik kerana ia memberi pelbagai maklumat tentang organ yang pada hakikat memainkan peranan dan fungsi penting terhadap sistem tubuh badan manusia.

Katanya, penyakit buah pinggang antara contoh penyakit yang datang tanpa diduga dan ada sesetengah pesakit mendapat petanda dan ada juga sesetengahnya tidak mengalami sebarang petanda.

“Jadi, amat penting bagi seseorang membuat pemeriksaan buah pinggang terutama bagi mereka yang sering mengalami demam, lenguh-lenguh badan, merasa letih dan lesu, kencing berkeladak, sakit keliling mata, mual dan muntah-muntah atau mempunyai sejarah keluarga yang mengalami penyakit itu.

“Jangan tunggu lama sehingga petanda tersebut berulang-ulang. Apabila penyakit sudah pada peringkat yang teruk, apa yang perlu dilakukan ketika itu adalah membuat pemindahan buah pinggang, hemodialisis atau rawatan pencucian darah melalui lapisan peritoneum (CAPD) untuk seumur hidup,” katanya.

Dr. Khalid menjelaskan, sebab utama penyakit buah pinggang adalah berpunca daripada penyakit kencing manis, darah tinggi atau pengambilan ubat tahan sakit antiradang bukan steroid (NSAIDs) yang berlebihan.

“Apa yang membimbangkan, nisbah orang yang mengalami penyakit ini meningkat dari setahun ke setahun. Paling menakutkan, masih ramai yang tidak menyedarinya sehinggalah penyakit buah pinggang berada pada peringkat kritikal. Namun ia dapat ia diatasi sekiranya langkah pencegahan awal itu diambil.

“Antara langkah-langkah pencegahan awal yang boleh diambil ialah mengawal tekanan darah, mengawal diabetes, gaya hidup sihat (pemakanan dan senaman), berhenti merokok, menjaga berat badan, minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari dan mengelakkan mengambil ubat yang boleh merosakkan buah pinggang seperti ubat penahan sakit tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Dr. Khalid lagi, beliau berharap kempen ini diharap dapat mempromosikan amalan gaya hidup yang sihat, ceria dan cergas bagi mewujudkan suasana universiti yang unggul.

“Kempen ini sesuai untuk memberi penerangan dan maklumat serta membina keyakinan diri, lebih-lebih lagi kepada pelajar dalam bidang farmasi UCSI.

Beliau menambah, program yang dianjurkan oleh pelajar dari Persatuan Pelajar Farmasi UCSI itu merupakan platform terbaik untuk warga universiti untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesedaran orang ramai.

Selain kempen, peserta program turut didedahkan dengan maklumat berkaitan kecergasan dan kesihatan yang disampaikan oleh kakitangan farmasi UCSI terlatih.

Dalam pada itu, Dr. Khalid berharap agar aktiviti yang dirancang dalam program itu bakal digunakan sepenuhnya oleh warga universiti untuk mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang masa.

“Kesihatan dan kecergasan wajar diambil berat oleh setiap pelajar dan orang ramai agar dapat meningkatkan produktiviti, membina hubungan harmoni serta membentuk peribadi diri yang terpuji,” katanya.