Ketua Penolong Pengarah (Bahasa Inggeris), Mohd. Pa­thiuddin Mat Zain berkata, hasil perkongsian tersebut, satu program telah diadakan di Pusat Kegiatan Guru Cherang Ruku yang melibatkan 20 guru bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, SK Tok Bali dan SK Dalam Ru.

Beliau berkata, kursus intensif selama tiga hari itu diadakan khusus untuk memberikan pendedahan mengenai teknik menguasai bahasa Inggeris de­ngan baik oleh pegawai koordinator pengembangan latihan guru British Council, Lisa Walsh.

“Usahasama ini adalah sebahagian sumbangan sosial korporat syarikat Hess yang berpangkalan di Tok Bali kepada masyarakat pesisir pantai de­ngan hala tuju membangunkan prestasi murid dalam menguasai kemahiran lisan dan tulisan dalam bahasa Inggeris.

“Program yang turut melibatkan penyertaan komuniti khu­susnya ibu bapa diharapkan dapat menjayakan matlamat mengikis fobia murid yang beranggapan mata pelajaran bahasa Inggeris sukar untuk dipelajari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Pathiuddin berkata, pihaknya turut memberikan penekanan kepada latar belakang keluarga dan kehidupan komuniti yang menyebabkan murid-murid di daerah ini tidak berminat menguasai bahasa Inggeris sepanjang kursus tersebut berlangsung.

Katanya, pengunaan buku fik­­syen dan kemudahan tek­no­lo­gi maklumat termasuk portal pendidikan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan pastinya akan memupuk minat murid belajar selain memberi penekanan terhadap kemahiran menggunakan kamus serta pe­nguasaan sebutan yang be­tul.

“JPN amat mengalu-alukan kerjasama syarikat korporat yang lain untuk menaja program pembangunan pendidikan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak nelayan dan petani di sekolah-sekolah luar bandar di negeri ini,” katanya.