Seorang penuntut, Nur Adila Aziz, 24, berkata, Karnival 3K itu menjadi platform kepada mereka untuk menonjolkan bakat dengan menyertai pelbagai aktiviti ke­senian dan keusahawanan sepanjang acara itu.

Menurutnya, karnival itu juga membuka ruang kepada pelajar antarabangsa untuk mengetengahkan budaya negara masing-masing yang mungkin ramai yang tidak tahu dan tidak pernah berada di negara berkenaan.

“Menerusi 3K ini, pelajar mendapat peluang untuk menonjolkan bakat dalam ke­senian dan pada masa sama kami dapat berniaga di ruang disediakan, secara tidak langsung membantu pelajar menjana pendapatan sampingan.

“Saya harap karnival ini diteruskan pada masa hadapan kerana banyak membantu pelajar dengan memberi pengalaman baharu bukan sahaja dalam bidang keusahawanan malah dalam seni persembahan,” kata pelajar semester lapan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu.

Majlis Perasmian Penutup Karnival 3K dan Majlis Anugerah Seni (Maseni) anjuran Pusat Budaya dan Seni (PBS) itu disempurnakan Pengerusi Ja­wa­­tankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar.

Aminuddin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, UUM berjaya mengangkat tema yang sesuai dengan senario pada masa kini iaitu budaya dan seni yang dijalinkan dengan keusahawanan.

“Karnival ini secara tidak langsung memberi peluang khususnya kepada golongan pelajar untuk menyerlahkan bakat dan potensi masing-masing.

“Penyelidikan dan juga pengalaman mendapati aktiviti yang berbentuk bukan akademik amat penting dalam mentransformasikan potensi, kreativiti, bakat, inisiatif dan tanggungjawab sosial mahasiswa dengan memupuk dan membina pengetahuan yang berkaitan, kemahiran, sikap dan nilai,” katanya.

Aminuddin berkata, mahasiswa perlu bijak menggunakan peluang yang ada untuk mendapatkan maklumat dan menanam minat yang mendalam untuk menambah ilmu pengetahuan agar dapat menyesuaikan diri di dalam kampus, di luar kampus dan juga di tempat kerja serta di dalam masyarakat kelak.

“Saya harap kejayaan yang diperoleh menjadi perangsang untuk terus maju dalam bidang budaya, seni dan keusahawanan, malah menjadi perangsang kepada rakan-rakan yang lain juga," katanya.

Pada majlis itu beliau turut melancarkan buku bergambar Prestij terbitan PBS yang merakamkan pelbagai konsert anjuran PBS yang berimpak tinggi termasuk Konsert Stanza Cinta di Istana Budaya.

Sebanyak 17 anugerah disampaikan kepada pemenang termasuk Anugerah Citra Budayawan yang dimenangi Mohd. Haziq Mohd. Jalil dan Anugerah Citra Budayawati (Nurul Syamimi Rashid) serta Anugerah Citra Badan Budaya Terbaik (Kelab Teater Warna).

Selain itu, Anugerah Khas Citra dimenangi Ahmad Saukat Ahmad dan Anugerah Citra Jasa Bakti (Bahiyah Idris dari Unifilm bersama Prof. Madya Dr. Salmah@Selamah Ayob).