Ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam menyertai misi sukarela itu bukan untuk diri sendiri semata-mata, tetapi dikongsi bersama dalam usaha melahirkan modal insan yang prihatin.

Anak kelahiran Gerik, Perak itu berkata, sejak kecil dia menunjukkan minat dalam bidang kesukarelaan sebagai memenuhi impian melihat masyarakat dunia yang kurang bernasib baik mendapat pembelaan.

“Pembabitan dalam bidang sukarela ini banyak membantu menginsafkan diri saya ketika menyantuni belia yang kurang bernasib baik.

"Ramai daripada mereka mempunyai potensi untuk berjaya dalam kehidupan, namun faktor kemiskinan sering kali menjerumuskan mereka melakukan perkara yang tidak baik.

“Matlamat saya hari ini adalah untuk membantu melahirkan golongan belia yang menjadi individu paling bermanfaat kepada orang lain dan memberi kefahaman bahawa kesusahan bukan penghalang untuk mereka berjaya dalam kehidupan,” jelas pelajar Doktor Falsafah (PhD) Marin Biotoksin, Universiti Malaysia Sabah ini.

Tambah Ghafur, dia tidak pernah menjadikan alasan kesibukan dalam menjalankan penyelidikan sebagai penghalang untuk dirinya membantu melahirkan belia dan pelajar yang cemerlang dan seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan kesukarelaan.

“Hasil pengalaman menyertai misi kesukarelaan di luar negara, saya melihat dan terpanggil untuk membantu belia di Malaysia melalui program motivasi atau kerohanian. Hal ini kerana belia merupakan aset negara.

“Saya cuba untuk membantu dan menyumbang idea dalam pembangunan belia dengan hampir setiap minggu berjumpa dan berkongsi pengalaman dengan belia yang terdiri daripada pelajar sekolah dan penuntut universiti,” katanya.

Menurut Ghafur, sebahagian besar belia yang ditemui dalam setiap programnya mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah dan terlibat dengan gejala sosial.

“Setelah dibimbing dengan baik, mereka mula sedar dan sekarang telah menjadi individu yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya sambil tersenyum puas inisiatifnya membuahkan hasil.

Anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini berkata, belia dan pelajar hari ini perlu sedar bahawa kecemerlangan akademik belum memadai dalam meletakkan mereka sebagai pelajar yang holistik.

“Kemahiran insaniah penting bagi melahirkan pelajar yang luar biasa, stigma pelajar yang menganggap kesibukan dalam aktiviti sukarela akan menyebabkan mereka tidak berjaya dalam akademik adalah salah dan perlu diperbetul.

“Hakikatnya mereka yang terlibat dalam bidang sukarela juga mampu cemerlang dalam bidang akademik malah berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor, Anugerah Diraja dan Anugerah Dekan,” tegasnya.

Bercerita lanjut, Ghafur yang memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) cawangan Sabah pernah mengikuti misi sukarela di Mesir yang tertumpu kepada masyarakat Islam yang susah di beberapa daerah pedalaman dengan memfokuskan kemahiran bina insan.

“Misi utama kami adalah memberi inspirasi kepada pelajar Mesir dalam usaha menyemai cinta akan tanah air dan membantu jati diri mereka.

“Kami juga turut berkesempatan menyantuni kanak-kanak pelarian Syria di Mesir dan melihat pada keadaan anak pelarian itu benar-benar melahirkan rasa kesyukuran kerana dilahirkan di Malaysia,” katanya menahan sebak.

Dalam pada itu Ghafur berkata, di Malaysia beliau tidak lelah menguruskan kerja amal bersama asnaf seperti aktiviti bersama anak yatim, warga emas dan gelandangan.

“Saya bertindak sebagai penghubung sukarelawan. Saya akan mengumpulkan seberapa ramai sukarelawan daripada pelbagai lapisan untuk bersama menyertai aktiviti yang dijalankan,” katanya.

Kata Ghafur, dia amat bersyukur dengan peluang yang Allah berikan untuk berbakti kepada masyarakat dunia dan berterima kasih kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D. Kamarudin D. Mudin yang banyak membantu dan memberi sokongan.

“Kehidupan seharian saya sentiasa dipenuhi dengan aktiviti amal di dalam dan di luar negara serta sentiasa memberi ruang kepada golongan belia untuk bersama-sama memikul amanah ini.

“Mereka adalah pelapis yang akan meneruskan perjuangan dalam membantu golongan memerlukan,” katanya.