Mereka terdiri daripada pelajar jabatan fotografi FSSR, Sekolah Menengah Agama Sultan Azlan Shah di Bota, Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri di Parit dan Institut Kemahiran Belia Negara Seri Iskandar itu mendedahkan peserta kepada teknik-teknik dan cara menghasilkan gambar berkualiti dan bermutu

Pengarah Projeknya, Khairul Anuar Ibrahim berkata, sepanjang bengkel dua hari itu, peserta diberikan penerangan secara teori dan latihan praktikal tentang penggunaan kamera dengan cara yang betul.

Menurutnya, peserta juga berpeluang berinteraksi dan mempelajari cara mengambil gambar yang betul, selain dapat berinteraksi terus dengan pakar dalam bidang fotografi .

“Penganjuran Fotofest 3.0 itu selaras dengan penubuhan fakulti FSSR bagi melahirkan serta mendidik anak-anak bumiputera menjadi lulusan yang kreatif, inovatif, sedia bersaing dan mempunyai ciri-ciri profesionalisme yang tinggi dalam bidang fotografi.

“Program ini memenuhi matlamat melahirkan lulusan dinamik mengintegrasikan pendidikan formal dan bukan formal secara inovatif serta memperkukuh lagi hubungan antara Jabatan Fotografi dengan alumni dan industri,” katanya.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Perak, Prof. Madya Dr. Norhayati Baharum.

Khairul Anuar berkata, manfaat daripada program ini ia dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara komuniti Fotofest 3.0 dalam menganjurkan bengkel fotografi ini.

“Selain itu, membantu peserta mengaplikasikan semua ilmu yang diperoleh daripada program berkenaan untuk menghasilkan gambar terbaik terutama bagi penerbitan majalah atau naskhah universiti,” katanya.

Sepanjang dua hari program kali ketiga sejak bermula pada 2016 itu diadakan pelbagai aktiviti dijalankan antaranya slot Foto Forum, Pameran Fotografi, Travel Talk dan Nikon Talk yang melibatkan alumni Jabatan Fotografi FSSR.

Slot Professional Talk pula menjemput bekas jurufoto Utusan Malaysia, Noor Baini Masri sebagai penceramah jemputan bagi berkongsi pengalaman selama berkecimpung dalam bidang fotografi.