Mahad Ayem, 63, dan Farah Diana, 31, yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Matematik dan Kejuruteraan Elektrik menerima skrol masing-masing daripada Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang merupakan Canselor UTM.

Mahad yang juga pensyarah Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan di UTM (UTMSpace) tidak menyangka akan menerima PhD bersama anak kedua daripada tujuh beradik itu pada hari sama.

“Saya mula sambung pengajian sejak sembilan tahun lalu, namun PhD saya tertangguh kerana diambil secara separuh masa selain kekangan waktu berikutan mengajar dan urusan lain.

“Pada masa sama, dia (Farah Diana) melanjutkan PhD pada 2013 dan tidak sangka, kami akhirnya dapat menamatkan pengajian dan menghadiri majlis konvokesyen secara bersama,” katanya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen berkenaan di Skudai dekat sini, semalam.

Sementara itu, Farah Diana yang mempunyai sepasang anak berusia tiga tahun dan enam bulan turut menganggap bapanya sebagai mentor dan sering menjadi sumber rujukan ketika pengajian.

“Bapa banyak membantu saya terutama melibatkan mata pelajaran Matematik dan kami saling membantu ketika membuat tesis,” katanya yang ditemani suami, Mohd. Hasrat Sabiran, 31.

Sementara itu, dua graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Petroleum), Farah Waheeda Arshad, 23, dan Josiah Wong Siew Kai, 23, menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang).