Pada hari paling bersejarah dalam hidup keluarga itu, Murqah, 49, menerima Ijazah Sarjana Bahasa Melayu (Pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama) manakala Nur Elyqah, 23, menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Pengurusan perkhidmatan makanan).

Murqah yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Padas, Sandakan itu turut mahu menghadiahkan kejayaan bersama anaknya itu kepada isterinya, Hapsah La­hadji yang kini sedang menderita sakit angin ahmar sejak enam tahun lalu.

Katanya, ibu Nur Elyqah menjadi penguat semangat beliau dan anaknya untuk menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan walaupun terpaksa berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur.

“Saya berulang alik dari Sandakan ke UPM selama empat kali dalam satu semester bagi membolehkan saya menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

“Walaupun berat hati mening­galkan isteri di rumah dalam keadaan sakit, namun saya mahu menghadiahkan segulung ijazah sarjana ini buat beliau yang banyak berkorban sepanjang saya mengikut pengajian,” katanya sebak ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu.

Menurut Murqah, beliau menggunakan wang simpanan sendiri sebanyak RM50,000 kerana tidak menerima sebarang pembiayaan sepanjang pengajiannya selama tiga tahun, namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya.

Dalam pada itu, Nur Elyqah berkata, dia sangat menghargai pengorbanan ayah dan ibunya sepanjang mengikuti pengajian di UPM.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian bersama ayah saya. Memang tidak sangka kami akan menyertai konvokesyen bersama-sama.

“Saya tidak memikirkan untuk menyambung pengajian ketika ini kerana mahu pulang ke Sandakan menjaga ibu yang sedang sakit,” katanya.