Naib Canselor Universiti Limkokwing, Prof. Cedric Bell berkata, laluan universiti itu untuk mencapai tahapnya kini adalah tidak mudah dan mereka menghadapi pelbagai cabaran untuk membuka universiti di negara asing lebih-lebih lagi di negara yang tidak stabil dari segi politik dan ekonomi.

“Walau bagaimanapun, kami berjaya dan sehingga kini me­nerima banyak lagi permohonan dari negara lain untuk membuka cawangan baharu.

“Ini membuktikan standard Universiti Limkokwing yang menjadi antara universiti swasta dinamik serta bergerak dengan kualiti dan kelayakan akademik antarabangsa berjaya mencapai sasarannya dalam pembangunan modal insan glo­bal,” katanya.

Menurut Bell, pihaknya ya­kin cara pembelajaran dan silibus yang ditawarkan universiti itu dapat mengubah sosioekonomi di negara yang kekurangan asas pembelajaran teknologi kreatif yang sangat dituntut kini.

“Meskipun terdapat sedikit kelainan daripada segi cara dan pendekatan yang diambil untuk mengajar, sistem yang digunakan tetap sama seperti di Malaysia.

“Ini bagi memastikan semua pelajar universiti Limkokwing berada pada standard yang sama meskipun datang daripada negara dan keadaan sosioekonomi berbeza.

“Yang paling penting adalah semua kampus termasuk di ­Sierra Leone menggunakan sistem pendidikan tinggi Malaysia yang dibawa oleh Universiti Limkokwing,” katanya.

Tambah Cedric, dengan kemudahan yang disediakan di kampus Sierra Leone, beliau yakin para pelajar akan dapat menikmati suasana pembelajaran yang sama meskipun terdapat kekangan da­ri pelbagai aspek.

“Dengan perpustakaan yang dilengkapi sistem komputer dan rangkaian internet, bilik kaunseling yang selesa, ruang kreatif dan ruang belajar yang kondusif, kami yakin pelajar di sini akan dapat menikmati suasana pembelajaran yang baik.

Menurut Bell, meski­pun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk sikap skeptikal masyarakat setempat terhadap sistem pendidikan tinggi luar, mereka berjaya mengatasinya dengan bantuan semua pihak termasuk kerajaan negara luar yang kebanyakannya yakin dengan sistem pendidikan tinggi negara.

“Pada mulanya memang ada sikap skeptikal itu tetapi setelah diberi pendedahan berkenaan jenama Limkokwing dan sistem pendidikan Malaysia, penduduk setempat mula optimis.

“Antara cabaran lain termasuk lah dalam menyediakan penempatan untuk pelajar memandangkan mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk ke kampus,” katanya.