Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, penubuhan Residensi UTMKL itu seiring dengan visi Perdana Menteri dalam mendepani permintaan global dalam bidang pendidikan, perniagaan dan industri.

“Reputasi UTM bukan sahaja berasaskan kejayaan cemerlang siswazah universiti tetapi juga kemudahan serba lengkap dan moden dalam menyumbang kepada pendidikan yang lebih berkualiti.

“Pelajar pascasiswazah UTM hari ini terdiri daripada golongan profesional dari seluruh dunia.

"Oleh demikian, mereka perlu mendapat pendidikan daripada kemudahan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Syarahan Perdana bersempena Japan Day 2018 anjuran Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Majlis Perasmian Residensi UTMKL di UTM Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis perasmian bangunan itu telah disempurnakan oleh Tun Dr. Mahathir dan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa dan Dekan MJIIT UTM, Prof. Dr. Ali Selamat.

Residensi UTMKL yang mempunyai keluasan lantai 817,000 kaki persegi, menempatkan empat blok penginapan, hotel, blok pentadbiran serta akademik, ruang pusat beli belah, dewan bankuet, boling, gimnasium dan kemudahan rekreasi yang lain.

Sementara itu, Wahid berkata, UTM merancang membina dan membangunkan lebih banyak lagi kemudahan prasarana baharu di kampus UTM Johor dan Kuala Lumpur.

“Ini termasuk membaik pulih kampus UTM Kuala Lumpur dengan visi jangka panjang untuk mengubah kawasan tersebut kepada universiti bertaraf dunia yang terletak di pusat bandar.

“Residensi UTMKL membuktikan kejayaan UTM dalam bidang akademik dan perniagaan dan dilihat sebagai sebagai pemangkin pembangunan antara industri dan komuniti,” katanya.