Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, asrama bernilai RM180 juta itu dibina di atas tapak seluas 7.28 hektar dan dijangka siap pada 15 September 2017.

Menurutnya, pembinaan tersebut meliputi lima blok kolej kediaman pelajar 10 tingkat termasuk pejabat pentadbiran asrama, lima unit kediaman pengetua asrama, 10 unit kediaman felo, seunit kafeteria yang boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu masa, kemudahan ge­langgang sukan termasuk futsal, bola tampar dan bola keranjang.

“Pembinaan kolej kediaman ini membantu pihak pentadbiran Utem menyelesaikan masalah pe­nempatan kediaman pelajar.

“Selaku menteri mentor kepada Utem, saya gembira dengan pencapaian ini dan pembangunan kolej kediaman ini pasti memberi keselesaan dan kemudahan akses yang lebih baik kepada para pelajar sepanjang pengajian mereka di universiti ini.

“Saya percaya dengan prasarana dan kemudahan lengkap yang bakal dibangunkan dalam tempoh dua tahun ini, akan membuka mata masyarakat setempat dan luar tentang pembangunan Utem, malah akan meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah pembinaan asrama tersebut di Utem, Durian Tunggal di sini hari ini.

Majlis pecah tanah tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang juga Canselor Utem.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Utem, Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Ladin; Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad.

Dalam pada itu, kata Idris, sektor pendidikan di negeri ini sedang meniti arus pembangunan yang pesat.

Jelasnya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah amaun untuk menaik taraf serta melakukan transformasi di Jalan Hang Tuah sebagai hab pendidikan di negeri ini.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 6,000 pelajar terdiri daripada pelajar Utem Kampus Bandar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya dan Kolej Profesional Mara sedang melanjutkan pelajaran di Jalan Hang Tuah.