Ketua Eksekutif dan Pre­siden Micost, Datuk Dr. Ahmad Zaini Mohd. Amin berkata, Askar Wataniah Micost di bawah seliaan Rejimen Askar Wataniah Kem Bu­­kit Beruang itu pada mulanya di­sertai tujuh pe­lajar dan kini, keanggotaannya bertambah kepada 130 pelajar.

“Sejak Askar Wataniah Micost ditubuhkan, sebanyak tujuh anggota telah dinaikkan pangkat daripada prebet kepada lans koperal.

“Kewujudan unit ini membuktikan Micost memen­tingkan aspek pembangunan sahsiah diri pelajar bagi membolehkan mereka lebih bersedia dalam menghadapi alam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Ahmad Zaini, Micost akan mengadakan Majlis Konvo­kesyen kali ketiga di Dewan Seri Negeri di sini esok bagi meraikan sebanyak 248 gra­duan yang menamatkan pe­ngajian dalam pelbagai jurusan yang ditawarkan kolej itu.

Beliau memberitahu, sebanyak 83 graduan merupakan lulusan Diploma Farmasi diikuti Diploma Pengajian Perniagaan (17 graduan), Diploma Pengurusan Pejabat (57 graduan), Diploma Pe­ngurusan Sumber Manusia (43 graduan), Diploma Pentadbiran Awam (38 graduan) dan Diploma Perakaunan (11 graduan).

“Perasmian majlis konvo­kesyen kali ini akan disempur­nakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi ne­geri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Micost, Datuk Md. Yunos Husin,” ujarnya.

Ahmad Zaini menambah, pada majlis sama, Md. Yunos juga akan menyampaikan anugerah khas bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar-pelajar Micost iaitu Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan, Anugerah Gra­duan Terbaik Akademik dan Anugerah Graduan Terbaik Ko-Kurikulum daripada Fa­kulti Sains Kesihatan serta Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

Micost yang mula beroperasi pada 2006 adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang dimiliki sepenuhnya oleh Yayasan Melaka melalui anak syarikatnya, YM Mediscience Sdn. Bhd. dan diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sejak 2011.