Kursus selama dua hari itu merupakan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dijayakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Nilai dan dikelolakan sepenuhnya oleh Jabatan Pengajian Melayu IPG Raja Melewar.

Majlis penutupan majlis dan penyampaian sijil program itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza,

Yang turut hadir sama, Pengarah IPG Kampus Raja Melewar, Dr. Nizam Abd. Latib.

Abu Ubaidah berkata, program itu bertujuan menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada peserta yang terdiri daripada kakitangan awam dalam meningkatkan lagi tahap profesionalisme terutama dalam berkomunikasi.

“Segala pengetahuan dan kemahiran menerusi kursus ini akan diaplikasikan dalam pengurusan pentadbiran dalam meningkatkan sistem penyampaian kerajaan negeri kepada rakyat.

“Ia juga merupakan program NBOS yang dapat menyokong usaha kerajaan ke arah meningkatkan kualiti penyampaian awam dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sementara itu. Dr. Nizam berkata, IPG Raja Melewar komited untuk terus menganjurkan beberapa siri kursus komunikasi kepada mana-mana pihak yang berminat sama ada agensi awam dan swasta di Negeri Sembilan pada masa depan.

“Tiga modul dibangunkan oleh Jabatan Pengajian Melayu IPG Raja Melewar iaitu, Modul A (Komunikasi Bertulis), Modul B (Penulisan Kreatif) dan Modul C (Komunikasi Lisan).

“Diharapkan modul-modul ini dapat membantu pegawai kerajaan dan swasta dalam meningkatkan perhubungan awam mereka kepada masyarakat,” katanya.