Pendebat yang mempunyai potensi dalam pengucapan awam ini perlu digilap dan dilatih dengan maklumat hal-hal berkaitan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

Justeru itu, Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Tamhidi (Asasi) USIM baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Kejohanan Debat Inter-Tamhidi Kali Kelima di kampus universiti tersebut di Nilai, Negeri Sembilan.

Pengarah Kejohanan Debat Inter-Tamhidi, Muhammad Adam Muhammad Azmi berkata, objektif penganjuran kejohanan ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai kemahiran pengucapan awam khususnya debat kepada pelajar Tamhidi baharu USIM.

Katanya,pada tahun ini sebanyak sembilan pasukan menyertai pertandingan dalam kategori bahasa Melayu dan 10 pasukan untuk bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

“Pertandingan ini hanya melibatkan pelajar Tamhidi USIM sahaja yang mewakili aliran asasi masing-masing iaitu Tamhidi Syariah dan Undang-undang; Tamhidi Perubatan; Tamhidi Pergigian, Tamhidi Sains dan Teknologi dan Tamhidi Perakaunan dan Muamalat.

“Pasukan debat dari Tamhidi Perubatan muncul juara kejohanan ini apabila menjuarai setiap kategori bahasa yang dipertanding dan berjaya membawa hadiah berupa wang tunai RM150 berserta sijil penghargaan,” katanya.

Penganjuran kali ini turut dibantu 26 urusetia dari Kelab Debat USIM dan 19 urusetia Sekretariat Pelajar Tamhidi.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penyelaras Tamhidi Perakaunan dan Muamalat USIM, Zunaidah Ismail.