Lebih membanggakan, Habi­bah Bachok, 28, turut dinobatkan selaku penerima Anugerah Ke­cemerlangan Akademik pada Majlis Konvokesyen PIS Ke-22, semalam.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu berjaya mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.70 untuk muncul penuntut terbaik dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pe­ngurusan Pelancongan dan Hospitaliti Antarabangsa.

“Saya amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan yang dicapai hari ini kerana arwah orang tua saya pernah berpesan agar menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Berbekalkan pesanan mereka dan sokongan daripada suami dan rakan-rakan, saya bersyukur dengan kejayaan ini,” katanya yang bergelar isteri sejak Ogos, tahun lalu.

Habibah, anak jati Gelang Pa­tah turut memuji program ijazah sarjana muda politeknik kerana mengguna pakai formula pembe­lajaran berasaskan kerja yang membantu penuntut dalam mempelajari ilmu amali berkaitan kursus yang mereka.

“Konsep ini bagus kerana penuntut bukan sahaja belajar secara teori, malah turut melakukan kerja dalam bidang berkaitan selama setahun.

“Ini secara tidak langsung turut meningkatkan peluang penuntut untuk terus mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian,” katanya yang kini bertugas di Hotel dan Resort KSL, di sini.

Sementara itu, Ketua Pe­ngarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz berkata, konvo­kesyen itu merupakan detik bersejarah bukan sahaja untuk gra­duan, malah juga bagi PIS.

“Ini kerana setelah hampir 20 tahun beroperasi, kumpulan ini merupakan graduan ijazah sarjana muda pertama bagi institusi pendidikan tinggi ini.

“Secara tidak langsung ini me­nunjukkan komitmen politeknik dalam melahirkan generasi muda dengan kepakaran dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.