Dengan pendapatan seba­nyak RM20 sejam, Thong See Wai mengajar beberapa subjek di sebuah pusat tuisyen di Su­ngai Dua, berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Selain itu dia juga aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, namun itu tidak menghalang pelajar Ijazah Sarjana Muda Ilmu Pendidikan (Kepujian) itu untuk memberikan yang terbaik dalam pelajaran.

Hasilnya, See Wai, 23, yang berasal dari Slim River, Perak muncul sebagai graduan cemerlang dengan menerima Hadiah Pingat Emas Canselor pada Upacara Konvokesyen USM ke-55 yang bermula Sabtu lalu hingga 2 November ini.

Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi sepanjang empat tahun di USM adalah untuk membahagikan masa antara pelajaran serta aktiviti luar selain mencari pendapatan sam­pingan sebagai tutor.

“Saya tidak mahu membebankan ibu bapa saya jadi saya mengambil inisiatif mencari kerja sampingan namun ia tidak menghalang saya untuk melakukan yang terbaik dalam kelas.

“Ini kerana sejak awal saya memasang impian untuk mendapatkan keputusan yang baik namun tidak menyangka sama sekali akan dipilih untuk terima pingat ini,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Sebanyak 6,850 graduan akan menerima ijazah pada upacara itu iaitu masing-masing seorang penerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan dan Profesor Emeritus serta sebanyak 2,043 graduan akan menerima Ijazah Tinggi (PhD dan Sarjana), 4,759 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 48 penerima Diploma Kejururawatan.

See Wai menambah, selain hadiah itu, dia juga menerima Anugerah Pelajar Terbaik Persa­tuan Wanita dan pelajar terbaik Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (Sains & Pendidikan).

Jelasnya, dia akan meme­nuhi impiannya untuk bergelar guru selepas ini untuk mencari pengalaman kerja sebelum memikirkan untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Sementara itu bagi penerima Hadiah Pingat Emas USM Untuk Pelajar Kelainan Upaya, Wan Muhammad Abdul Muhaimin Ab. Wahab, 24, berkata, dia menjadikan kejayaan abangnya Wan Muhammad Rafie yang juga graduan USM sebagai pembakar semangatnya.

“Saya sendiri tak sangka akan terima anugerah ini kerana keputusan saya tidak sebaik rakan-rakan penerima anugerah yang lain kerana sebagai pelajar kelainan upaya penglihatan, banyak cabaran yang harus ditempuhi sepanjang berada di USM.

“Saya jadikan kejayaan abang saya yang juga alami nasib serupa dengan saya namun berjaya tamatkan pengajian di USM lima tahun lalu sebagai dorongan untuk saya berjaya di sini,” ujar graduan Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) kelahiran Melaka itu.

Selain itu, penerima anugerah lain adalah Nur Syahirah Ahmad Bastari (Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-Raja Malaysia - kategori bumiputera); Chan Fung Han (Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-Raja Malaysia - kategori bukan bumiputera) dan Mohamad Syafiq Kamaruddin (Anugerah Pingat Emas Naib Canselor).