Menurut Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub, beliau gembira kerana dapat melihat sendiri fakulti yang diasaskannya kini mampu bersaing dengan mana-mana fakulti perundangan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

“Ia bermula sebagai pusat yang menawarkan program-program pengajian undang-undang dari United Kingdom (UK) iaitu LL.B (London-External) dan Institusi Setiausaha Berpiagam (kini Institusi Setiausaha dan Pentadbir Berpiagam).

“Kini fakulti tersebut bukan sahaja berjaya melahirkan lebih 10,000 graduan malahan berjaya melahirkan tokoh-tokoh perundangan dan korporat yang hebat seperti Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang hadir hari ini, pengasas firma guaman terbesar di Malaysia, Datuk Zaid Ibrahim dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Malam Tautan Kasih Alumni Fakulti Undang-undang 2015 yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Prof. Ir. Dr. Suhaimi Abd. Talib; Dekan Fakulti Undang-Undang UiTM, Prof. Madya Dr. Haidar Dziyauddin dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan.

Fakulti Undang-Undang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Pentadbiran dan Perundangan serta Fakulti Pentadbiran dan Perundangan dan diasaskan pada tahun 1968.

Arshad berkata, beliau berharap kesemua alumni fakulti tersebut dapat menyumbang kembali kepada institusi yang pernah menabur jasa kepada mereka dalam apa jua cara sekalipun.

“Saya berharap para alumni dapat menggembleng tenaga untuk menyumbang sama ada tenaga dan wang ringgit kepada fakulti. Ibarat pepatah hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa,” ujarnya.