Ketua Pengarah Unit Pemo­denan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Dr. Mazlan Yusoff berkata, peratusan tersebut berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2016 yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Pencapaian ini meletakkan lepasan politeknik dianggarkan sebagai kedua terbaik berbanding graduan institusi pengajian tinggi yang lain,” katanya dalam majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Ke-11 (Sidang Kedua) di Dewan Harumanis, Pauh Putra, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah PTSS, Dr. Zahari Ismail.

Beliau berkata, sebagai golong­an muda yang melakar hala tuju negara pada masa depan, graduan hendaklah sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa serta berani bersaing di peringkat global.

“Revolusi digital yang menguasai landskap dunia hari ini menjadikan usaha eksplorasi ilmu baharu menjadi lebih mudah dan pantas,” katanya.

Mazlan berkata, kemunculan pelbagai bentuk medium sosial dan intelektual yang menjadi fenomena abad ini merancakkan lagi interaksi dan perkongsian maklumat merentasi sempadan.

Sehubungan itu, katanya, pengetahuan dan kemahiran perlu dikongsi dengan orang lain supaya ia terus berkembang dan memberi manfaat kepada manusia sejagat.