Haiwan itu diserahkan oleh Pengarah Urusan Medal Lions Creative, Muhammad Anas Aziz yang merupakan perunding dilantik Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kepada Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim di Mini Deer Park UMP Pekan.

Kedua-dua rusa berkenaan diberi nama 'Pekan' dan 'Chini' berdasarkan nama kawasan yang terdapat di daerah ini.

Muhammad Anas berkata, projek berkenaan adalah antara 30 komponen Strategi Pemantapan Serambi Bandar Pekan-Kuala Pahang.

“Inisiatif ini merupakan kerjasama antara ECER, UMP dan pihak kami bagi membantu meningkatkan daya tarikan pengunjung ke kawasan Kuala Pahang, selari dengan pembangunan Medan Ikan Bakar yang terletak di dalam kawasan tersebut,” katanya dalam majlis pen­yerahan haiwan tersebut.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof. Datuk Dr. Rosli Mohd Yunus: Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin: Penolong Naib Canselor (Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Kualiti) universiti berkenaan, Prof. Datuk Dr. Ishak Ismail dan Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid.

Rusa bintik mempunyai jangka hayat antara 15 tahun hingga 16 tahun yang mana dewasa jantan boleh mencecah antara 65 hingga 85 kilogram manakala betina dewasa antara 45 hingga 55 kilogram.

Menurut Muhammad Anas, objektif utama program itu adalah menjadikan UMP sebagai destinasi tarikan pelancongan pendidikan seterusnya satu jenama yang turut membantu mempromosikan Medan Ikan Bakar dan bandar Pekan.

Dalam pada itu, Daing Nasir menghargai sumbangan haiwan tersebut selaras dengan usaha UMP 'menghijaukan' kampus dan memulihara alam sekitar di bawah Inisiatif UMP Green.

“Selain itu, program ini dapat mewujudkan peluang penjanaan pendapatan bagi universiti pada masa akan datang. Saya berharap kehadiran rusa ini menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung ke Kuala Pahang dan kampus UMP,” katanya.