Persepsi sedemikian tidak menghairankan kerana siri animasi terbitan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (Les’ Copaque) itu yang mula ditayangkan sejak 2007 begitu terkenal di seluruh Nusantara dan telah meraih banyak anugerah, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Antaranya Animasi Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2007; Filem Block Buster Negara (2009), Best On-Screen Chemistry, Anugerah Shout! (2009); Animasi Paling Berjaya dalam Malaysia Book of Records, Siri Animasi Paling Popular Indonesia 2015 dan Karakter Katun paling Popular Indonesia 2015 .

Selain di Malaysia dan Indonesia, siri Upin & Ipin turut juga ditayangkan di empat belas negara di rantau Asia Pasifik melalui Disney Channel Asia dan Turki.

Siri ini juga mendapat sambutan yang begitu hebat di Youtube dimana setiap bulan hits nya melebihi 800 juta dari seluruh dunia. Ini menjadikan Les’ Copaque salah sebuah syarikat yang dipantau oleh Youtube kerana menjadi satu daripada penyumbang hasil yang agak besar kepada Youtube di Asia Tenggara. Laman Facebook Upin Ipin juga begitu popular sehingga mencecah 12 juta likes.

Ini kerana kisah yang dipaparkan adalah berkisar kehidupan seharian kanak-kanak di kampung sambil diserapkan dengan nilai-nilai murni yang membuatkan Upin & Ipin menjadi pilihan kepada ibu bapa sebagai bahan didikan tambahan untuk anak masing-masing.

Walau bagaimanapun, jangan terkejut jika diberitahu yang individu utama yang menggerakkan perniagaan animasi ini sebenarnya lulusan dalam bidang petroleum dan gas daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md. Radzi, 60 tahun, berkata, ramai yang tersalah anggap kerana beliau sebenarnya bukanlah semata-mata menerbitkan animasi seperti yang diamalkan oleh pengusaha studio animasi yang lain, tetapi membangunkan perniagaan dalam bidang animasi.

“Saya tidak membuat animasi tetapi saya membangunkan perniagaan animasi. Untuk itu, segala teknik dan selok belok pembuatan animasi saya tahu dengan mempelajarinya daripada pekerja saya kerana saya perlu memimpin dan menentukan arah tuju perniagaan ini,” katanya kepada Helo Kampus di pejabatnya di Seksyen 13, Shah Alam.

Baginya, banyak studio animasi gagal kerana kebergantungan kepada dua, tiga orang pekerja mahir semata-mata.

Untuk menghasilkan produk animasi komersial, mesti dihasilkan di dalam persekitarann kilang yang memerlukan proses pembuatan, peralatan yang cukup, pekerja mahir dan modal yang cukup.

Sekiranya persekitaran ini dibangunkan terlebih dahulu, jadual produksi akan dikawal oleh proses dan kebergantungan kepada segelintir pakar dapat dikurangkan. Ini boleh mengurangkan resiko kegagalan sekiranya pakar-pakar ini meninggalkan syarikat.

Anak kelahiran Teluk Panglima Garang, Kuala Langat itu memberitahu, meskipun pada peringkat awal beliau tiada pengetahuan dalam bidang animasi, pengalamannya bekerja selama 10 tahun dengan Petronas Carigali Sdn. Bhd. setelah tamat pengajian di UTM , dan 10 tahun menerajui syarikat Dayang Enterprise Sdn. Bhd. banyak membantunya untuk membangunkan perniagaan dan menentukan hala tuju perniagaan ini.

Katanya, tempoh tersebut amat penting kerana dari situlah baharu seseorang tahu apa bidang keusahawanan atau perniagaan yang sesuai untuk diceburinya.

Sehubungan itu, beliau tidak menggalakkan graduan universiti terus menceburi bidang keusahawanan sebaik sahaja tamat belajar.

“Kalau kita menggalakkan semua pelajar menjadi usahawan selepas habis belajar, ia tidak membawa faedah kerana bukan semua orang boleh jadi usahawan.

“Mereka perlukan bakat, ilmu sudah tentu, selain modal dan minat. Memanglah universiti mengumpulkan orang bijak pandai tetapi nak jadi usahawan berjaya kena ada rangkaian perniagaan dan pengalaman,” ujarnya.

Les’ Copaque yang ditubuhkan pada 2005 dan memulakan operasi pada tahun 2006 kini mempunyai 180 pekerja.

Sejak itu, perniagaannya mula berkembang, bukan setakat animasi malahan beliau telah berjaya membangunkan perniagaan perlesenan, air minuman, barangan cenderamata (merchandise) dan banyak lagi perniagaan sampingan yang berteraskan jenama Upin & Ipin.

Selain itu, terdapat juga rangkaian restoran bertemakan Upin & Ipin, Akademi Animasi dan beliau sedang berusaha dengan gigih untuk membangunkan taman tema Upin & Ipin.