Mereka yang dipilih oleh Yayasan USM itu merupakan penuntut kurang berkemampuan dari segi kewangan bagi meneruskan kelangsungan pengajian mereka di USM.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif Yayasan USM yang merupakan badan korporat khas yang ditubuhkan USM bertujuan menjana, merencana dan menguruskan dana sumber-sumber kewangan.

Selain itu, ujar beliau, yayasan tersebut juga bertujuan membantu penuntut kurang berkemampuan termasuk dari sudut penyelidikan, peralatan dan keperluan berkaitan pembangunan USM.

“Sejak penubuhannya, pelbagai inisiatif dilaksanakan Yayasan USM antaranya projek Kami Prihatin (Kampri) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM yang memberi bantuan makanan percuma, bayaran yuran tertunggak pelajar, komputer riba untuk pembelajaran dan bantuan lain yang berkaitan.

“Ini menunjukkan keprihatinan pihak universiti yang sentiasa memikirkan jalan dan ikhtiar supaya kebajikan para penuntut terjamin sepanjang pengajian mereka di USM,” katanya ketika dalam majlis penyerahan sumbangan dana khas APEX itu di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, USM di sini baru-baru ini.

Tambahnya, bantuan khas itu adalah daripada Tabung Dermasiswa Kasih USM (TBDK) yang ditubuhkan pada Mac 2015 melalui sumbangan kakitangan USM, Alumni USM dan badan-badan korporat berkaitan.

“Setakat ini seramai 500 penuntut kurang berkemampuan telah menerima manfaat daripada bantuan khas ini yang mana agihan dana dari tabung ini dibuat dari semester ke semester,” katanya.

Dalam masa sama, Asma turut berharap bantuan itu juga dapat meningkatkan kesedaran penuntut USM untuk terus berusaha mencari idea membantu universiti ke arah memenuhi agenda APEX mengurangkan jurang kemiskinan.