Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter UMK, Datuk Dr. Ibrahim Che Omar berkata, penglibatan ahli akademik dalam program ‘Prof@School’ itu adalah sebahagian aktiviti utama National STEM Movement Chapter Kelantan yang baharu dilancarkan.

Beliau berkata, Kelantan adalah negeri terbaharu menyertai pergerakan itu selepas Sela­ngor, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Terengganu sejak ia dimulakan pada 2015.

“Program Nasional STEM Movement di negeri ini merangkumi enam aktiviti utama iaitu pertandingan Kuiz STEM, Dikir Barat STEM, Pidato STEM, Rekabentuk Digital, Bicara Rakyat dan Prof@School.

“Aktiviti Prof@School adalah berorientasikan pendekatan ‘mentor-mentee’ yang mana semua Profesor dan Profesor Madya UMK serta rakan dari universiti lain turun membimbing ­me­ng–i­kut keperluan sekolah.

“Buat permulaan, sebanyak 75 sekolah dikenal pasti iaitu 59 sekolah menengah dan 16 sekolah rendah meliputi semua daerah di negeri ini,” katanya kepada pemberita dalam majlis pelancaran National STEM Movement Chapter Negeri Kelantan dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter UMK dan Jabatan Pendidikan negeri, di sini kelmarin.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching.

Yang turut hadir Pengerusi National STEM Movement, Prof. Datuk Dr. Noraini Idris; Pengarah Pendidikan negeri, Jaafar Ismail dan Penyelaras STEM Kementerian Pendidikan, Dr. Ihsan Ismail.

Sementara itu, Ibrahim berkata, perkongsian kepakaran dan pengalaman daripada golongan profesor perlu supaya mereka dapat memberi cadangan penambahbaikan di sekolah.

“Bidang STEM adalah pemacu yang menentukan kemajuan negara lebih-lebih lagi bagi mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kita memerlukan sumber manusia ramai yang berkemahiran dan berilmu dalam bidang sains dan teknologi untuk memba­ngunkan ekonomi.

“Keadaan sekarang sudah kronik kerana hanya 30 peratus lepasan sekolah daripada aliran sains menyebabkan universiti kekurangan calon berkualiti untuk memenuhi tempat di program sains di universiti,” katanya.