Malah, kerajaan juga telah meletakkan sasaran untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah dengan nisbah seorang akauntan dengan 500 penduduk menjelang 2020 sebagai menyokong usaha transformasi negara.

Ketika ini, jumlah akauntan bertauliah di Malaysia adalah kira-kira 33,000 orang dan usaha menambah bilangan profesion itu perlu memandangkan saiz ekonomi negara semakin berkembang. Malah, perkemba­ngan teknologi juga mewujudkan keperluan kepada akauntan bertauliah dan profesional terutama dalam bidang perbankan dan perdagangan dalam talian.

Menyedari keperluan itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School telah memperkemaskan lagi program perakaunan di universiti tersebut bagi memastikan graduan yang dilahirkan le­bih berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mempunyai sijil profesional yang diperlukan untuk bergelar akauntan bertauliah.

UniKL Business School menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) sejak 2011 dan setakat ini seramai 821 graduan telah berjaya dilahirkan dan rata-ratanya mereka telah mendapat tempat dalam industri bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara.

Menurut Ketua Seksyen Perakaunan, UniKL Business School, Nik Khadijah Nik Abdul Rahman, pada tahun ini pihaknya bekerjasama dengan Salihin Consulting Group Sdn. Bhd. untuk me­nubuhkan Teaching Accoun­tancy Firm (TAF) Salihin-UniKL bagi membolehkan pelajar menimba pengalaman bekerja sejak di universiti lagi. Salihin adalah sebuah firma audit yang mendapat lesen daripada Kementerian Kewangan.

“Melalui TAF, pelajar akan bekerja sambil belajar dan mereka diberikan peluang untuk menguruskan atau mengaudit akaun pelanggan yang berurusan de­ngan pihak UniKL Business School mahupun Salihin Consul­ting Group Sdn. Bhd.

“Jadi, pelajar bukan sahaja boleh menimba pengalaman be­kerja yang tentunya dapat membantu mereka apabila masuk ke dunia pekerjaan sebenar, tetapi pada masa sama, mereka juga akan dibayar untuk setiap pekerjaan yang mereka lakukan di TAF,” katanya.

Menurut Nik Khadijah, pelajar yang layak dipilih menyertai TAF adalah mereka yang telah lulus subjek-subjek perakaunan ter­tentu dan mempunyai pencapai­an membanggakan. Kriteria itu adalah untuk memastikan setiap pelajar tidak menghadapi masalah untuk menguruskan setiap pekerjaan yang diberi.

Bagi pelajar lain, mereka akan diberi peluang untuk mengikuti kursus-kursus perakaunan yang dianjurkan oleh Salihin dan UniKL.

Katanya, lebih istimewa, pengalaman yang ditimba di TAF turut diiktiraf sebagai pengalaman be­kerja sekiranya ingin memohon untuk menjadi ahli The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan seterusnya ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Jelasnya, untuk menjadi ahli ACCA, seseorang itu bukan sahaja perlu memiliki sijil profesional ACCA, tetapi juga perlu mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun dalam bidang berkaitan. Selepas diterima sebagai ahli ACCA, barulah mereka boleh memohon untuk menjadi ahli MIA.

Katanya, setiap pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) di UniKL Business School sebenarnya mempunyai kelebihan berbanding pelajar di universiti lain kerana mereka diberikan pengecualian maksimum apabila hanya perlu mengambil lima kertas peperiksaan ACCA berbanding 14 kertas peperiksaan yang sepatutnya diambil untuk mendapatkan sijil profesional tersebut.

Begitu juga untuk memperoleh sijil profesional daripada CPA Australia yang mana pelajar UniKL Business School hanya perlu mengambil enam kertas peperiksaan sahaja berbanding 14 kertas peperiksaan yang sepatutnya diambil pelajar, katanya.

“Pengecualian itu diberikan kerana kertas peperiksaan yang lain telahpun diambil ketika di UniKL Business School iaitu kertas peperiksaan asas bidang perakaunan dan mereka cuma perlu menduduki peperiksaan untuk kertas profesional sahaja.

Katanya, pelajar juga beruntung kerana rata-rata pensyarah di UniKL Business School adalah mereka yang berpengalaman luas dalam industri sama ada dalam bidang perbankan, syarikat kewangan atau multinasional.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan adanya pengalaman industri tersebut akan memboleh­kan para pensyarah berkongsi pengalaman tersebut dengan pelajar, sekali gus memastikan pengajaran yang diberikan le­bih bersifat hands-on bukannya sekadar teori semata-mata.

“Kami juga akan melayan pelajar umpama kawan dan mereka boleh mendapat nasihat kami pada bila-bila masa walaupun selepas waktu bekerja, malah ada pensyarah yang sukarela mengadakan kelas tambahan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan,” ujarnya.

Sementara itu, UniKL juga menjalinkan kerjasama dengan University of Adelaide, University of Queensland dan University of New South Wales, Australia yang membolehkan pelajar jurusan perakaunan UniKL menyambung pengajian dalam jurusan perakaunan di salah satu universiti tersebut.

“Malah, pelajar yang telah selesai semester dua juga boleh memohon untuk menyambung pe­ngajian di salah satu universiti itu menerusi program TDP (Australia) dan ijazah akan dianugerahkan oleh universiti tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, pihak universiti juga menggalakkan pelajar terlibat dalam bidang keusahawanan dengan menyediakan ruang untuk pelajar berniaga secara kecil-kecilan.

Jelasnya, usaha itu bagi memastikan setiap pelajar tidak mengharapkan kerja makan gaji semata-mata, sebaliknya mereka boleh menjalankan perniagaan sekiranya masih belum memperoleh sebarang pekerjaan selepas tamat pengajian.

Beliau berkata, bidang keusahawanan adalah antara yang diterapkan dalam sistem Graduate Higher Order Critical Skills (GHOCS) iaitu satu program atau sistem untuk mengiktiraf pencapaian dan usaha mahasiswa UniKL dalam aktivi­ti-aktiviti yang dijalankan ti­dak kira berunsurkan akademik atau bukan akademik.

GHOCS juga diadakan bagi menggalakkan mahasiswa bergiat aktif dalam aktviti secara berte­rusan bagi memupuk disiplin diri dan integriti serta meningkatkan kebolehupayaan daya saing mahasiswa UniKL.

“Apa yang diusahakan ini adalah bagi memastikan setiap mahasiswa yang dilahirkan oleh UniKL telah dibekalkan dengan semua kemahiran yang dapat membantu mereka membina kerjaya kelak,” kata Nik Khadijah.