Mereka yang bakal menempuh permulaan perjalanan baharu dalam kehidupan itu terdiri daripada 422 graduan pemegang diploma manakala 33 graduan lagi pemegang ijazah sarjana muda. 

Majlis yang diadakan  bersama dengan Sambutan 10 tahun TATIUC  disempurnakan oleh Canselornya, Tan Sri Ir. (Dr) Wan Abdul Rahman Wan Yaakob.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib; Pengerusi Lembaga Pentadbir TATIUC, Bazlan Abdul Rahman; Rektor TATIUC, Prof. Madya Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan) TATIUC, Dr. Rosliza Ramli.

Dalam majlis itu, Zulkhibri Baharom yang memperlihatkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dam kepemimpinan menerima Anugerah Canselor manakala Md Raffiq Shahril Alias (Anugerah Pengerusi) dan Wan Muhammad Zharfan Wan Ismail (Anugerah Rektor).

Sementara itu, Dr. Zamri percaya peningkatan graduan dari masa ke semasa disebabkan keyakinan masyarakat semakin meningkat terhadap bidang pengajian yang ditawarkan dengan kebolehpasaran yang tinggi.

"Ini kerana pembelajaran yang dilaksanakan di TATIUC adalah secara 'lab intensive' atau 'practical oriented' yang memberi lebih penekanan kepada amali dan kursus-kursus yang ditawarkan menyatukan teori dan amali mengikut keperluan industri.

"Keunikan sistem pembelajaran yang menggunapakai sistem kualiti 'fachhochsshule' dari Jerman bukan sahaja mampu menghasilkan kualiti graduan yang tinggi malah memenuhi keperluan serta pasaran gunatenaga pekerja berkemahiran tinggi di industri,"ujarnya.

Bagi mengukuhkan imej dan kedudukan termasuk di peringkat antarabangsa, katanya TATIUC turut menjalin kerjasama dengan Universiti Mie  Jepun di samping penyertaan dalam pelbagai pertandingan inovasi berprofil tinggi.

Terbaharu, pihak pengendali East Coast Rail Link (ECRL), projek laluan keretapi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Pantai Timur, melalui Technology Depository Agency (TDA) bercadang untuk menjadikan TATIUC sebagai Pusat Latihan Pekerja bagi projek tersebut.-UTUSAN ONLINE