Rektornya, Dr. Tuan Mohd. Rosli Tuan Hassan berkata, sebanyak 39 anugerah disampaikan termasuk Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan.

Beliau berkata, setiap pe­nerima dinilai berdasarkan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik mahupun penglibatan dalam kokurikulum sepanjang sesi Disember 2016 sehingga April 2017.

“Majlis ini diadakan bagi mengiktiraf pencapaian pelajar yang menunjukkan kesungguhan dalam menempa kecemerlangan akademik mahupun bukan akademik.

“Kesemua pelajar terbabit berjaya mencapai kecemerla­ngan akademik dalam peperiksaan akhir dengan memperoleh pencapaian Purata Nilai Gred (PNG) 3.50 ke atas,” katanya selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa di UiTM Cawangan Kelantan, di sini baru-baru ini.

Majlis berkenan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Datuk Makhtar Mustapha.

Dalam majlis tersebut, Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan dimenangi penuntut jurusan Diploma Seni Lukis & Seni Reka, Umarul Haqimi Zamri, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.74.

Sementara itu, Umarul Haqimi berkata, kejayaannya itu adalah berkat doa dan sokongan ibu bapa serta pensyarah yang banyak memberi dorongan.

“Kejayaan ini adalah sebagai tanda penghargaan saya kepada kedua ibu bapa yang banyak membantu sehingga saya mencapai kejayaan hari ini.

“Saya juga berjaya membuktikan kepada rakan-rakan meskipun berada dalam bidang seni lukis, tetapi saya mampu me­raihkan kejayaan ini,” katanya.

Katanya, untuk mencapai kejayaan, dia sentiasa mengingatkan dirinya bahawa Allah yang menentukan segalanya walau apa jua yang dilakukan.