Program selama tiga hari bermula 27 Oktober hingga semalam itu turut melibatkan penyertaan lapan penuntut dari Kolej Industri dan Komuniti Betong, Thailand.

Program yang dikendalikan oleh Kolej Komuniti Gerik, peserta akan bersama-sama masyarakat Orang Asli untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), sukan rakyat dan seni kreatif ta­ngan Orang Asli.

Aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang program berlangsung ialah bicara siswa, wayang pacak dan pertandingan sepak takraw di antara belia Orang Asli dan pelajar kolej komuniti.

Pengarah Kolej Komuniti Gerik, Leftenan Kolnal Ahmad Rizal Omar berkata, program itu bertujuan melahirkan pelajar yang mempunyai semangat juang yang tinggi, berdaya saing, cergas dan cerdas serta sentiasa mengamalkan konsep berilmu bagi mencipta kejayaan selain mampu menyesuaikan diri apabila berada bersama masyarakat.

Katanya, program yang julung kali diadakan itu juga mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima kehadiran lebih 200 orang yang terdiri daripada ibu bapa dan anak Orang Asli di sekitar Kampung Bukit Asu dan masyarakat Siam di Kampung Pong.

"Program ini juga merupakan platform dalam usaha Kolej Komuniti di negeri ini untuk melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan menjalinkan hubungan yang baik dengan komuniti setempat melalui amalan kesukarelawanan.

"Usaha murni ini diharap dapat memberi impak dan sumbangan yang besar kepada masyarakat orang asli khususnya di Kampung Bukit Asu di Pengkalan Hulu," katanya.

Ujar beliau, masyarakat Orang Asli juga diminta agar menjadikan Kolej Komuniti sebagai tempat menimba ilmu dalam bidang kemahiran untuk anak-anak mereka.

"Kemahiran yang diperoleh ini boleh membantu keluarga untuk meningkatkan taraf ekonomi dan di Kolej Komuniti Gerik sendiri menawarkan bidang kemahiran yang relevan seperti Sijil Kenderaan Ringan, Sijil Fesyen dan Pakaian dan Sijil Teknologi Maklumat," katanya.