Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, ketiga-tiga mangsa, Rabiah, 68; Amilah, 76, dan Aliah Abdullah, 78, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Rabiah, ketika kejadian, dia dan dua beradik lain sedang tidur di ruang tamu sebelum dihampiri suspek yang masing-masing menutup muka menggunakan kain dan bertubuh kurus.

“Ketika itu saya ingat sedang bermimpi, rupa-rupanya memang betul ada orang yang mengacukan pisau pada leher saya, manakala seorang lagi letakkan parang pada leher kakak saya, Aliah.

“Suspek kemudian menggeledah rumah dan melarikan semua duit simpanan kira-kira RM1,000 serta barang kemas, seutas gelang tangan dan dua bentuk cincin,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambah Rabiah, kedua-dua tangan mereka turut diikat menggunakan benang kait dan kain telekung.

“Sebelum mereka melarikan diri, saya merayu supaya memulangkan kad klinik kesihatan kerana ada temu janji dan mereka berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Supe­rintenden A. Asmadi Abd. Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan membabitkan samun berkawan dengan senjata. - UTUSAN ONLINE