Mesin desktop CNC buatan tempatan pertama tersebut dibangunkan oleh anak syarikat TPM Corporation, TPM Engineering Sdn. Bhd. (TPME) di bawah inisiatif program Inovasi Sosial (MSI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Inovasi Sosial MOSTI yang berteraskan program peringkat akar umbi meliputi pembangunan atau pelaksanaan idea berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial.

Institusi yang menerima kemudahan tersebut adalah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Kolej Vokasional Melaka Tengah dan Politeknik Merlimau Melaka.

Tiga mesin desktop CNC tersebut dibangunkan pada bulan Disember lalu di mana unit pertama dipasang baru-baru ini dan disampaikan kepada penerima sempena Karnival Latihan Industri dan Hari Kecemerlangan Kerjaya di sini sebentar tadi.

Penyerahan itu disempurnakan Pengarah Bahagian Hubungan Industri dan Kebolehpasaran Jabatan Pendidikan Politeknik, Zainah Rujihan yang menyampaikan mesin CNC kepada Pengarah Politeknik Merlimau Melaka, Rashidah Mustapa.

Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Melaka Tengah, Tuah Talip dan Pengarah ADTEC Melaka, Mohd. Zabidin Abd. Samad turut menerima mesin desktop CNC masing-masing.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Azman Shahidin yang juga Pengerusi TPME. - UTUSAN ONLINE