Pelajar baharu itu terdiri daripada 1,090 pelajar lelaki dan 2,504 pelajar wanita.

Jumlah pelajar baharu itu bertambah seramai 150 orang iaitu sebanyak empat peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 3,444 pelajar mendaftar di UPM yang terdiri daripada 1,206 orang pelajar lelaki dan 2,316 pelajar wanita.

Tambahan ini melibatkan program baharu yang ditawarkan, di samping tambahan program yang mempunyai permintaan tinggi iaitu kejuruteraan dan sains kesihatan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, seramai 288 pelajar antarabangsa turut mendaftar bagi program ijazah sarjana muda.

Jumlah pelajar antarabangsa meningkat iaitu seramai 38 orang berbanding pada tahun lalu seramai 250 orang.

“Pelajar-pelajar itu antaranya dari Singapura, Thailand, Indonesia, Korea, China dan India.

“Mereka juga datang dari Pakistan, Bangladesh, Jepun, Filipina, Kanada, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Sri Lanka, Britain, Rusia dan Itali,” katanya.

Antara program yang popular dalam kalangan pelajar antarabangsa bagi kemasukan kali ini ialah kejuruteraan, pertanian, pentadbiran perniagaan, sains komputer dan komunikasi.

Program baharu yang diperkenal pertama kali ialah program Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan jumlah kemasukan seramai 20 orang.

Daripada jumlah pelajar itu, seramai 67 pelajar mendaftar di kampus UPM Bintulu.

Jumlah itu, bertambah 17 orang atau 30 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 50 orang.

Selain itu, pengambilan pelajar bagi sesi ini melibatkan dua orang pelajar yang juga atlet yang mengambil bahagian mewakili Malaysia dalam Sukan Asia 2018, terdiri daripada atlet ragbi dan atlet tekwando.

Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada masa kini, UPM turut memperbaharui akses kad maya identiti pengenalan pelajar kepada pelajar baharu sesi 2018/2019 untuk menggantikan penggunaan kad pelajar sedia ada.

Sehubungan itu, setiap pelajar tahun pertama sesi 2018/2019 ini akan menggunakan Aplikasi Telifon Pintar (bagi pengguna Android dan IOS) dan Web Desktop yang dikenali sebagai Putra Virtual ID (PutraVID) untuk menguruskan pengenalan diri, selain mengakses kemudahan kampus seperti capaian aplikasi ICT, penggunaan kemudahan infrastruktur, kehadiran dan pengesahan warga universiti.

Inisiatif itu akan melengkapkan kampus UPM kepada pembangunan aplikasi berteras Internet of Things (IoT) yang akan menjadi teras kepada pembangunan kampus pintar.