Ketua Pegawai Eksekutif AeU, Profesor Datuk Dr. Ansary Ahmed berkata, kesemua program yang ditawarkan pihaknya bermula dari peringkat diploma hingga ijazah kedoktoran (PhD) adalah bertaraf antarabangsa dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Graduan AeU datang dari pelbagai negara seperti Malaysia, Bangladesh, Brunei, India dan New Zealand. Seramai 994 me­rupakan Program Pensiswazahan Guru (PPG), 1,276 graduan pasca siswazah dan 1,951 mahasiswa yang menerima skrol dip­loma dan ijazah sarjana muda.

“Selain itu kita juga meng­anugerahkan PhD kepada gra­duan tempatan dan antarabangsa yang mengambil jurusan pentadbiran perniagaan dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Yang turut hadir dalam majlis konvokesyen itu ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching dan beberapa wakil kedutaan asing daripada Dialog Kerjasama Asia (ACD) Ke-34.

Ansary menambah, sejak ditubuhkan pada 2007, AeU berjaya menawarkan tempat kepada 23,000 mahasiswa dan setakat ini universiti berkenaan mempunyai seramai 15,000 alumni dari 84 negara.

“Misi utama universiti adalah untuk menjadi sebuah institusi akademik yang menawarkan kelainan berbanding institusi lain di rantau ini. Proses pem­belajaran AeU bersifat terbuka tanpa mengira jarak dan sempadan,” jelasnya.

Sementara itu, graduan jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Ho Ken Fatt, 44, berjaya meraih tiga anugerah khas iaitu Anugerah Pengerusi, Anugerah Mahani Zainal Abidin dan Anugerah Fakulti.