Lafaz ikrar untuk mematuhi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan berjanji tidak mensia-siakan peluang diperoleh sebagai mahasiswa itu diketuai penuntut Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli UMP, Ungku Ahmad Hussein Ungku Fadzil.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pada tahun ini, seramai 23,279 calon memilih UMP sebagai tempat menyambung pengajian dalam permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) bagi program Sarjana Muda yang mana program paling popular ialah Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam.

“Lebih membanggakan, sebahagian siswa iaitu seramai 1,243 orang yang ditawarkan ke program sarjana muda merupakan mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.0 di pe­ring­kat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, matrikulasi dan seta­raf,” katanya pada majlis itu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof. Datuk Dr. Mashitah Mohd. Yusoff.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi universiti itu, Abd. Hamid Majid yang juga Pendaftar UMP dan barisan dekan serta ketua jabatannya.

Daing Nasir menasihatkan mahasiswa supaya mengambil peluang belajar di institusi pengajian tinggi berkenaan sebanyak mungkin kerana penuntut yang cemerlang tidak hanya hebat di dewan kuliah malah cergas dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

Selain itu, kata beliau, sebagai mahasiswa yang cemerlang perlu bijaksana dalam pengurusan masa.

“Alam kampus akan banyak mengajar mahasiswa untuk bijaksana dalam membuat keputusan dan bersedia mendepani perkara yang tidak diduga. 
 “Sifat kepemimpinan juga perlu bermula dengan keupayaan memimpin diri terlebih dahulu agar menjadi inspirasi kepada orang lain,” katanya.