Timbalan Pengarah Akademik PUO, Muhammad Zubir Muhamad Haniffah berkata, karnival yang berlangsung pada 2 Ogos dan 3 Ogos lalu itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu kontemporari perniagaan yang praktikal kepada lebih 3,000 peserta yang terlibat.

Muhammad Zubir berkata, karnival anjuran Unit Keusahawanan PUO yang berkolaborasi dengan Syarikat Meta Focus Aspiration Sdn. Bhd. itu turut disertai lebih 10 agensi luar serta usahawan yang berjaya.

“Karnival ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu keusahawanan dan mengetahui rahsia perniagaan yang berjaya malah mewujudkan hubungan rangkai­an dengan usahawan luar.

“Hal ini mampu menjadikan mereka lebih yakin dan bersemangat untuk mengharungi dunia perniagaan yang penuh dengan persaingan,” katanya dalam majlis perasmian karnival berkenaan.

Karnival tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pemba­ngunan Usahawan, Koperasi dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Yang turut hadir Ketua Unit Ke­usahawanan PUO, Dr. Mazura ­Mansor.

Menurutnya, terdapat pelbagai kursus dan bengkel keusahawanan telah diadakan sepanjang bengkel berlangsung antaranya bengkel penyediaan asas perakaunan untuk perniagaan, bengkel usahawan nasi kambing, usahawan kek dan usahawan refleksologi.

Muhammad Zubir berkata, gerai jualan turut diwujudkan bagi memberi ruang kepada pelajar dan usahawan kecil mempraktikkan kemampuan mereka berniaga dan menjana pendapatan.

“Kita juga menjemput ahli perniagaan berjaya untuk berkongsi rahsia dan panduan kejayaan mereka melalui slot forum yang disediakan

“Selain itu, kakitangan akademik turut diberikan peluang untuk membentang kertas kajian mereka berkaitan keusahawanan,” katanya.