Raja Swaziland Mswati III berkenan hadir pada majlis konvokesyen itu yang diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mavuzo.

Pada majlis itu, Permaisuri LaMotsa turut menerima Anugerah Kepimpinan Kreativiti atas bakat dan keupayaan baginda mengetengahkan konsep baharu dan kreatif dalam pendidikan Swaziland.

Permaisuri LaMbikiza pula menerima Anugerah Kepimpinan Rekaan Inovasi atas bakat dan keupayaan baginda dalam pemba­ngunan pendidikan inovasi dan kreativiti.

Pengarah Komunikasi Korporat Universiti Limkokwing, Datin Nikki Lugun menyampaikan anugerah itu kepada kedua-dua permaisuri itu.

Majlis tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Swaziland Bar-nabas Sibusiso dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing.

Sementara itu, Kok Wing yang merupakan Utusan Khas Perdana Menteri Malaysia bagi Pemba­ngunan Komuniti Afrika Selatan (SADC) berkata, 3,000 siswazah yang dikeluarkan oleh Universiti Limkokwing merupakan antara siswazah yang mendapat permintaan tinggi terutamanya dalam bidang kreatif dan inovasi di negara itu.

Katanya, lazimnya siswazah yang membuat latihan industri di sektor swasta Swaziland terus diserap bekerja dalam syarikat-syarikat di negara itu.

Jelas beliau, ini membuktikan siswazah Universiti Limkokwing mampu bersaing dengan siswazah daripada institusi pengajian tinggi awam tempatan.

“Siswazah Universiti Limkokwing menerajui usaha-usaha melakukan transformasi terhadap industri-industri sedia ada. Mereka memainkan peranan penting dalam melakukan perubahan yang kini berlaku di seluruh Afrika.

“Mereka ini akan membawa Swaziland ke masa depan baharu. Masa depan yang akan mentransformasikan negara ini menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Raja Mswati III bertitah, graduan Universiti Limkokwing perlu memainkan pera­nan utama bagi merealisasikan pelan pembangunan pendidikan dan melahirkan generasi yang berilmu serta bersahsiah tinggi.

Titah baginda, cabaran dunia pendidikan kini semakin hebat yang menuntut kepada kecekalan dan kesabaran bagi mereali­sasikan matlamat kerajaan untuk membangun dan memartabatkan negara.

“Oleh itu, seluruh warga pendidik harus bersedia untuk menghadapi fenomena ini bagi melahirkan graduan yang cemerlang, berkemahiran dan perlu melengkapkan diri dengan segala ke-perluan bagi memenuhi tuntutan semasa tersebut,” titah baginda.

Baginda bertitah, Kok Wing telah melaksanakan tanggungjawabnya membantu Swaziland bagi merealisasikan impian kejayaan negara itu dalam pendidikan tinggi.

“Tan Sri Lim Kok Wing telah mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas terhadap program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan kita.

“Usaha ini akan menjadi anjakan besar untuk membawa stan­dard pendidikan bertaraf antarabangsa bagi memenuhi aspirasi negara serta rakyat beta. Terima Kasih Universiti Limkokwing,” titah baginda.