Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Bradley A.Hurst berkata, ketika ini terdapat 12 ETA berkhidmat di negeri ini daripada jumlah keseluruhan 100 ETA yang ditempatkan di sembilan negeri di seluruh negara.

Beliau berkata, sejak tiga tahun lalu sebanyak 42 orang ETA yang merupakan graduan daripada universiti-universiti terkemuka AS telah dihantar bertugas di sekolah-sekolah menengah terpilih di negeri ini bagi membantu meningkatkan minat pelajar terhadap Bahasa Inggeris dan membina keyakinan untuk bertutur dalam bahasa tersebut.

“Program Fulbright ETA di negeri ini bermula sejak 2015 di mana guru-guru pembantu ini ditempatkan di sekolah-sekolah menengah selama 10 bulan khususnya untuk membimbing pelajar menguasai Bahasa Inggeris.

“Pihak kami berharap ribuan pelajar yang mendapat manfaat daripada penempatan ETA di sekolah mereka juga akan beroleh peluang ke AS sama ada dalam program pertukaran mahupun untuk melanjutkan pengajian pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Kota, UMK Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, A.Hurst yang mewakili Kedutaan AS menandatangani MoU bersama Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Husaini Omar bagi menubuhkan Sudut Amerika di universiti itu.

Sementara itu, A.Hurst berkata, kewujudan sudut itu adalah sebagai pusat perkongsian maklumat mengenai peluang perniagaan dan pendidikan serta sejarah dan budaya AS.

“Selain itu sudut ini turut membuka akses kepada warga universiti dan orang awam me­ngenai peluang melanjutkan pelajaran dan biasiswa di AS.

“UMK adalah sebuah universiti yang sangat dinamik dan mempunyai masa hadapan yang sangat cerah terutama dalam pendidikan keusahawanan, pihak kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan UMK dan akan meneruskan kerjasama yang sebenarnya telah bermula sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Selain Kelantan, lapan lagi lokasi Sudut Amerika adalah di Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Kedah, Johor, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.