Sempena Majlis Konvoke­syen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-42 di Serdang dekat sini semalam, seramai 12 atlet negara yang menamatkan pe­ngajian diraikan.

Mereka ialah atlet-atlet olahraga, Chuah Yu Tien, Ahmad Luth Hanizan, Muhd. Ajmal Aiman Mat Hassan dan Mohd. Fairol Nazim Mohd. Noor serta atlet bola jaring, Siti Nor Farhana Mustafa, Izyan Syazana Mohd. Wazir dan Nursyafazliyana Mohd. Ali.

Tiga lagi ialah atlet ragbi, Nur Nadira Natalia Mohd. Manshahar, Muhammad Zharif Affandi Mohamed Zahid; Nik Mohd. Shahiddan Mohd. Zain (ragbi); Muhammad Erwan Berhan (bola sepak) dan Muhammad Aqil Anuar (lawan pedang).

Yu Tien, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia Petroleum) dan pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 dalam acara lompat bergalah wanita mengakui berdepan masa-masa sukar tetapi ia berjaya di­atasi dengan pembahagian masa yang sistematik.

“Kita seharusnya menghargai masa dan sentiasa berusaha mencari ilmu pengetahuan walaupun dalam pada masa yang sama, kita menggalas nama negara di peringkat dunia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen itu.

Tambahnya, tiada masalah untuk seorang atlet yang sentiasa sibuk menjalani latihan untuk menyambung pelajaran asalkan mereka bijak mengurus masa.