Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor, Ir. Zailee Dollah berkata, kesemua penerima sijil diploma itu merupakan graduan Diploma Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Katanya, ia merupakan konvokesyen kali ketujuh sejak Kolej Consist ditubuhkan pada tahun 2005.

“Kolej ini mencatatkan satu lagi sejarah hari ini apabila graduannya menerima diploma masing-masing.

“Ia kejayaan kita bersama dalam usaha memajukan sektor pendidikan khususnya berkaitan keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia pada Majlis Konvokesyen Kolej Consist, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Bebas Sunway Group, Datuk Ir. Johari Basri dan Ketua Eksekutif Kolej Consist, Ar. Mior Zawari Hassan.

Pada majlis itu, graduan Nur Syifaa Mohd. Nasri dinobatkan penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Kolej Consist.

Menurut Zailee, sejak ditubuhkan kolej ini telah berjaya melahirkan seramai 1015 siswazah diploma dalam bidang petrol kimia, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, pelabuhan dan perkapalan,

Katanya, sehingga kini siswazah kolej ini telah diiktiraf apabila mendapat tauliah sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia,

“Mereka telah menjalani latihan industri selama tiga tahun, ada antara mereka telah dilantik menjadi pegawai dan pengurus di beberapa sektor penting negara.

“Ini menunjukkan Kolej Consist menjadi salah sebuah kolej pilihan utama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, yang paling menarik apabila program diploma yang ditawarkan Kolej Consist mendapat kelulusan dari Agensi Kelayakan Malaysia.

Antara program diploma yang dijalankan Kolej Consist ialah Diploma Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Diploma Ergonomik, Diploma Pengurusan Persekitaran Pekerjaan dan Diploma Hygiene Industri.