Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, selaras dengan bidang tujahan seawal penubuhan iaitu kejuruteraan, prestasi Unimap boleh disifatkan terbaik apabila 100 peratus graduan dalam beberapa program pe­ngajiannya laris dan memenuhi pasaran kerja di negara ini.

“Saya berani katakan, 100 peratus graduan Unimap terutama dalam bidang Kejuruteraan Teknologi mendapat pekerjaan manakala bagi program pengajian lainnya mencatatkan lebih daripada 85 hingga 98 peratus graduan berjaya memenuhi kebolehpasaran kerja selepas enam bulan menamatkan pengajian,” katanya dalam pertemuan di pejabatnya di sini hari ini.

Zul Azhar berkata, data itu membuktikan Unimap telah menyediakan platform terbaik untuk pelajar melalui penawaran kursus yang re­levan dengan keperluan pihak industri selain memperuntukkan tempoh enam bulan terakhir pengajian sebagai tempoh latihan amali yang memberi ruang kepada pelajar menyesuaikan diri dengan keperluan kerja yang sebenar.

“Kebiasaannya, selepas tamat latihan amali, pelajar akan terus diserap untuk be­kerja,” katanya.

Beliau berkata, jari­ngan universiti-industri me­rupakan satu keperluan yang bertunjangkan konsep hubungan simbiotik di antara kedua-dua pihak yang mana ia diperkukuhkan menerusi penyediaan graduan serba lengkap serta mampu memacu inovasi produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh industri.

Katanya, seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Pendidikan Tinggi, Unimap berazam mengekalkan prestasi ini agar dapat terus meningkatkan keboleh pasaran graduannya.

“Kita meletakkan sasaran yang jelas dengan memastikan graduan yang dihasilkan berkualiti dan memenuhi kehendak industri dan pada masa sama menghasilkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi,” katanya.

Zul Azhar berkata, bagi memenuhi aspirasi tersebut juga, Unimap berbangga apabila dipilih menjadi hos Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2017 Zon Mini Utara di Dewan Ilmu Unimap, Pauh Putra, Arau, dekat sini esok dan lusa.

“Dengan menjadi hos, ia memberi peluang yang lebih kepada Unimap untuk membimbing para pelajar, kaunselor sekolah dan ibu bapa supaya membuat pilihan dengan tepat untuk mengikuti kursus yang diminati,” ujarnya.

Beliau berkata, namun apa yang lebih penting pelajar di Kedah dan Perlis boleh mengambil peluang selama dua hari ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dari pelbagai agensi berkaitan pendidikan tinggi termasuk 20 Universiti Awam (UA), universiti swasta, Jabatan Pendidikan Politeknik serta Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti.

Karnival tersebut, jelas beliau, menyediakan peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lepasan Diploma untuk melihat dengan jelas apa yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

“Turut diadakan ialah seminar kemasukan IPT serta sudut mengisi permohonan kemasukan pelajar (UPU Online) yang telah dibuka mulai 6 Februari 2017 (Isnin) pukul 12 tengah hari sehingga 31 Mac 2017 ini,” jelasnya sambil menambah program KPTN di Unimap juga akan diserikan kehadiran artis Yabang dari Kumpulan Khalifah.

habis.