Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, pemberian itu merupakan salah satu usaha bagi membantu meningkatkan kehidupan masyarakat Orang Asli terutama golongan muda dalam bidang pendidikan.

“Kita mengadakan sambutan Aidilfitri tahun ini bersama masyarakat Orang Asli setelah menerima cadangan supaya mendekati kehidupan masyarakat Orang Asli dan mengeratkan silatu­rahim.

“Selain pemberian biasiswa, kita juga telah merancang beberapa aktiviti kemasyarakatan dan kehidupan untuk Orang Asli sepanjang tahun dengan soko­ngan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Malah, kita juga sedang dalam perbincangan mengadakan program kesihatan di kampung-kampung Orang Asli terpilih seluruh negara,” katanya ketika berucap dalam program Anyaman Kasih anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) - Kumpulan Utusan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Taman Desa Kemandol, di sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Arif Abdul Rahman.

Sementara itu, Tok Batin Taman Desa Kemandol, Batin Kelat Anak Budin berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak terutama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kumpulan Utusan kerana hadir ke perkampungan mereka untuk sambutan Aidilfitri.

“Sebagai ketua di penempatan itu, saya menyambut baik usaha Kumpulan Utusan membawa masyarakat Orang Asli untuk meneruskan pendidikan ke tahap lebih tinggi demi masa depan mereka.

“Walaupun masyarakat Orang Asli dikaitkan sering ketinggalan dalam pendidikan, kita sebenar­nya sentiasa berusaha untuk me­ningkatkan tahap pendidikan terutama anak-anak muda,” katanya.