Mereka adalah graduan dari dua sekolah pengajian iaitu Sekolah Hospitaliti, Pendidikan dan Pengajian Profesional (SHEB) yang menampilkan kumpulan graduan terbesar serta Sekolah Sains dan Teknologi (SST). Konvokesyen kali ini turut melibatkan graduan sulung daripada program Sijil Fotografi Digital.

Turut sama menerima diploma ialah 52 graduan yang me­rupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengikuti program Pengurusan Hotel.

Kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara Kumpulan MSU College dan TLDM (Kementerian Pertahanan Malaysia) untuk memberikan akses pendidikan kepada ang­gotanya.

Majlis graduasi itu adalah yang pertama sejak kolej itu dijenamakan semula sebagai Kumpulan MSU College.

Hadir bagi menyempurnakan majlis bersejarah itu ialah Pengerusi Kumpulan MSU College yang juga Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd. Noordin.

Turut hadir, Presiden Kumpulan MSU College dan MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid.

Sementara itu, tiga kategori anugerah khas kecemerlangan turut diberikan kepada 12 graduan sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka dalam akademik dan ko-kurikulum.

Anugerah tersebut adalah Anu­gerah Emas Presiden yang diberikan kepada Muhammad Ikh­wanul Amin Zainuddin (Diploma Seni Kulinari) dan Anugerah Mohd. Shukri Yajid yang diberikan kepada Nor Herdawati Abdul Rahman (Diploma Teknologi Makmal Perubatan).

Sementara itu, sebanyak 10 lagi graduan menerima Anugerah Akademik antaranya Kenneth Paul Martinez (Diploma Teknologi Makmal Perubatan), Nursyafiqa Syafira Maheran (Dip­loma Pe­rakaunan), Muhammad Ja’far Sodik (Diploma Teknologi Maklumat), C. Jeeventrasharma (Di­p­loma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik), Muhammad Afdhal Azizan (Diploma Pe­ngurusan), Noor Hazera Hashim (Diploma Pengurusan Hotel - TLDM), Sri Hazirah Mohamad Yusoff (Diploma Pengurusan Hotel), Mohammad Yusoff Mahmood (Diploma Seni Kulinari), Siti Nur Liyana Faudzain (Diploma Reka Bentuk Grafik) dan Noralis Azmi (Diploma Perguruan (ELT).

Kumpulan MSU College melalui 10 cawangannya di seluruh negara telah melahirkan lebih 20,000 graduan dan terus komi­ted dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) untuk melahirkan modal insan yang holistik dan kompeten.

MSU College yang merupakan institusi collegiate kepada Ma­nagement & Science University (MSU) telah mendapat penarafan enam bintang dalam pelbagai kategori atas pencapaian cemerlangnya dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan yang memenuhi kriteria serta standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pertumbuhan pesat Kumpulan MSU College adalah selaras de­ngan pencapaian MSU sebagai antara universiti terbaik di Malaysia dengan pencapaian terkini termasuk memenangi Anugerah The Most Entreprenuerial Private University 2016 dan penarafan lima bintang QS Rating 2016 dalam aspek pengajaran, kebolehpasaran, kemudahan, tanggungjawab sosial dan inklusif.